4 tercampak dari kereta
JEMPOL: Mengerikan apabila empat sekawan tercampak keluar dari Proton Wira Aeroback yang mereka naiki terbabit kemalangan di Kilometer 27, Jalan Bahau-Kratong, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, dua mangsa tercampak ke dalam longkang manakala dua lagi di atas jalan menyebabkan dua daripada mereka menemui ajal.
Pemandu kereta, S Ganasan, 35, yang tercampak ke dalam longkang mati di tempat kejadian kerana parah di kepala manakala seorang penumpangnya, S Ganes, 30, mati ketika menerima rawatan di Hospital Jempol.
Malah, dua tayar di bahagian depan dan belakang kereta berkenaan turut tercabut akibat kemalangan ngeri itu manakala tiang elektrik yang dilanggar juga dikatakan patah tiga.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata sepasukan polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Bahau gagal dikawal sebelum terbabas.
“Kenderaan itu kemudian melanggar tebing longkang di bahagian kiri jalan sebelum merempuh pula tiang elektrik,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Beliau berkata, empat mangsa yang menaiki kereta itu tercampak keluar menyebabkan pemandunya mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati di hospital sementara dua lagi penumpang mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Menurutnya, semua mangsa yang dipercayai bersahabat itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke Terengganu untuk bekerja.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut kemalangan itu dan meminta kerjasama orang ramai tampil membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Harian Metro







