60 peratus badan gempal
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini berdepan masalah kegemukan apabila 60 peratus daripada hampir 30 juta penduduk negara ini mengalami masalah itu dengan 29 peratus mengalami masalah obesiti, manakala selebihnya mempunyai berat badan berlebihan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, masalah kegemukan tidak wajar dipandang ringan dan menyeru rakyat melihat isu berat badan sebagai penting kerana ia pintu kepada penyakit kronik tidak berjangkit.
Katanya, apabila individu obes atau berat badan berlebihan, risiko diserang penyakit kronik tidak berjangkit seperti jantung, barah, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi juga meningkat.
Katanya, penyakit boleh dielak dan dikurangkan, tetapi sebaliknya berlaku apabila trend membabitkan penyakit berkenaan meningkat membabitkan semua peringkat umur.
“Semua penyakit itu boleh dielak jika mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat. Lebih membimbangkan apabila golongan muda terutama kanak-kanak semakin gemuk.
“Ia trend tidak sihat kerana meningkatkan risiko menghidap penyakit kronik pada usia muda,” katanya selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Kementerian Kesihatan 2010, di sini, semalam.
Berhubung persidangan ALPH, Liow menekankan bahawa persidangan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengerusi dan setiausaha yang diadakan untuk meningkatkan prestasi dan peranan mereka.
Katanya, persidangan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan memastikan ALPH dapat menjadi penghubung baik antara hospital dan masyarakat dalam usaha menjadikan hospital Kementerian Kesihatan sebagai hospital komuniti.
Katanya, kementerian akan menyalurkan peruntukan kewangan RM10,000 kepada akaun Lembaga Pelawat Hospital (LPH) bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan hospital.
“Mengenai sistem penarafan bintang yang diwujudkan kementerian bagi semua LPH pada 2009, buat permulaan penilaian yang dibuat hanya membabitkan 18 hospital negeri dan hospital utama.
“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan diperluaskan di 132 hospital di seluruh negara membabitkan hospital peringkat daerah dan kecil,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita, Info Sihat, Tempatan










