Baiki, retak! Baiki, retak!
PUCHONG: “Setiap hari kami sekeluarga hidup dalam kebimbangan apabila hampir setiap bahagian dalam rumah mempunyai kesan keretakan,” kata R Subramaniam, 37, pemilik rumah di Taman Putra Prima, di sini, yang hidup dalam kebimbangan apabila rumah teres dua tingkat yang dibelinya kira-kira tiga tahun lalu mengalami keretakan.
Subramaniam yang memiliki kedai runcit, berkata dia mula mendiami rumah berkenaan pada penghujung 2007 bersama isteri, D Mageswari, 30, dan seorang anak perempuan berumur enam tahun.
Katanya, rumah berkenaan yang dibelinya pada harga RM390,000 dengan ansuran bulanan RM1,700 mempunyai keretakan di dinding ruang tamu dan dapur biarpun ia belum didiami.
“Ketika itu, pemaju berjanji akan membaiki semula dan kosnya akan ditanggung pemaju. Bagaimanapun, selepas enam bulan mendiami rumah berkenaan pada Mei 2008, masalah sama sekali lagi berlaku dan pemaju datang membaiki keretakan itu dengan cara memecahkan dinding lama.
“Namun, ianya sementara apabila keretakan itu berlaku lagi selepas enam bulan menyebabkan saya membuat aduan kepada pemaju. Ketika itu, mereka bersetuju secara lisan untuk memperbaiki semula kerosakan itu melalui penolong pengurus dan jurutera syarikat itu,” katanya.
Menurut Subramaniam, pemaju kemudian memintanya berpindah buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan.
Selepas enam bulan, katanya, dia berjaya mendapatkan rumah sewa dan berjumpa dengan wakil pemaju untuk berbincang mengenai proses baik pulih kesan keretakan itu.
“Ketika itu, saya diperkenalkan dengan penolong pengurus yang baru dan dimaklumkan dia tidak mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap perjanjian lisan yang dibuat bersama penolong pengurus lama dan memaklumkan hal itu akan dibawa kepada pihak atasan.
“Dalam tempoh itu, wakil pemaju hanya datang beberapa kali untuk melihat retakan itu, tetapi tiada tanda-tanda mereka akan membaiki kerosakan itu menyebabkan retakan di beberapa bahagian di dalam rumah semakin besar dari hari ke hari,” katanya.
Bukan hanya bimbang dengan keselamatan keluarganya, Subramaniam juga kecewa dengan sikap pemaju yang bersikap lepas tangan dalam menangani hal itu walaupun aduan sudah dibuat.
“Penghuni lain turut mengalami masalah seperti saya, tetapi hanya berdiam diri apabila pemaju mendakwa keretakan itu disebabkan pengubahsuaian pemilik rumah sendiri. “Saya tidak dapat menerima alasan berkenaan kerana tidak pernah melakukan sebarang pengubahsuaian sejak mendiami rumah itu. Dalam hal ini, saya hanya mahu mereka bertanggungjawab kerana ia membabitkan soal keselamatan yang mungkin boleh mengancam nyawa,” katanya.
Pembeli lain, Ser Kee Ngum, 38, turut mengalami masalah sama walaupun keretakan di rumahnya tidak seteruk retakan di rumah Subramaniam menyebabkannya mengambil tindakan untuk memperbaiki kerosakan itu sendiri “Saya mula tinggal di rumah bersama isteri, dua anak dan emak selepas membelinya pada 2008.
Walaupun kesan retakan tidak teruk, tetapi timbul juga perasaan bimbang apatah lagi apabila mengenangkan kerosakan yang berlaku di rumah Subramaniam,” katanya.
Sumber : Harian Metro











