Balai raya terbiar jadi sarang penagih
Sudah hampir dua tahun Balai Raya Kampung Baru Lanjut terbiar tanpa digunakan dan mendapat penyelenggaraan daripada pihak bertanggungjawab.
Melihat keadaan sedemikian, ada pula pihak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadikan tempat berkenaan sebagai tempat aktiviti menghidu gam tanpa disedari mana-mana pihak.
Difahamkan, penduduk tidak lagi dapat menggunakan balai raya berkenaan sejak selepas Pilihan Raya Umun Ke-12 (PRU12) lalu, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Selangor.
Sejak itu, balai raya yang sebelum ini ditadbir Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) lama menyerahkan kunci balai raya ke pihak JKKKP baru, namun malang, tiada lagi aktiviti komuniti mahupun menyatukan masyarakat diadakan di sana.
Hal ini demikian berikutan kesemua kelengkapan yang terdapat di balai raya itu lesap. Berikutan itu, JKKK terpaksa membiarkan sahaja balai raya itu terbiar tanpa dimanfaat sepenuhnya.
Menurut sumber, kesemua perabot dan kemudahan asas lain yang terdapat di balai raya berkenaan dialihkan JKKK lama, selepas JKKK lama tidak lagi mempunyai kuasa mentadbir balai raya berkenaan.
Setakat ini, tiada sesiapa memegang jawatan sebagai pengerusi JKKK Kampung selepas pengerusi JKKK meletak jawatan setahun lalu.
Ini menyebabkan jawatankuasa lain sukar untuk membuat sesuatu tanpa dipimpin seorang ketua yang dilantik dan diiktiraf sebagai ketua di kawasan mereka.
Wakil JKKK Kampung Labu Lanjut, Mohd Jani Salleh berkata, kebanyakkan perabot dan kemudahan asas yang terdapat dalam balai raya itu lesap menyebabkan balai raya itu gagal berfungsi.
“Jika sebelum ini balai raya merupakan balai komuniti berkumpul, dan menjadi ‘one stop centre’ bagi penduduk kampung dan pihak bertanggungjawab menganjur sebarang program, kini aktiviti itu lama tidak dapat dilakukan.
Menurutnya, akibat daripada itu, golongan remaja dan individu tidak bertanggungjawab menjadikan tempat tersebut sebagai tempat selamat untuk mereka melakukan aktiviti menghidu gam.
Beberapa bilik juga diconteng dan dicemari pelbagai sampah sarap, kerana berjaya masuk ke ruang balai raya akibat kerosakan pintu di balai raya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengerusi Penduduk (JPP) Zon Giching dan Labu Lanjut, Damarulan Hashim pula berkata, oleh kerana tiada tempat untuk pemimpin penduduk melakukan mesyuarat dan menganjur sebarang program komuniti, aktiviti berkenaan terpaksa dialihkan di Markas Pas di hujung kampung.
“Jika mengadakan rundingan dan menganjur program di Markas Pas, agak kurang sesuai di samping keadaan markas tersebut pun serba kekurangan,” katanya.
Selain itu, ruang mesyuarat dan bilik pejabat yang terdapat di balai raya berkenaan juga kini bagai padang jarak, kerana hanya tinggal ruang kosong, dengan keadaan pintu, tingkap, dan bumbung yang rosak teruk.
Beberapa unit penyaman udara yang sebelum ini terpasang didinding balai raya juga lesap, selain sistem pendawaian elektrik dirosakkan tanpa diketahui punca pihak berkenaan melakukan demikian.
“Kita telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab malah sepucuk surat juga telah diajukan ke Pejabat Menteri Besar untuk meminta mereka campur tangan hal ini, namun sehingga hari ini tiada sebarang respons diterima,” katanya.
Menurutnya, hasil laporan dan permohonan yang dikemukakan kepada pejabat daerah Sepang, peruntukan sejumlah RM7,000 daripada Jabatan Pembangunan Luar Bandar (PLB) untuk kerja baik pulih balai raya berkenaan.
“Namun demikian kos tersebut terlalu sedikit dan tidak mampu menampung kos baik pulih balai raya sepenuhnya. Kos yang diberikan hanya mampu membaiki siling, pintu dan tingkap balai raya yang juga telah rosak teruk dan perlu dibaiki jika mahu digunakan semula,” katanya.
Katanya, pihak JKKK diminta untuk mengusahakan sendiri perabot untuk diletakkan di balai raya tersebut, kerana tiada peruntukan khas disediakan untuk membeli perabot.
“Kami sendiri tidak pasti sampai bilakah balai raya ini akan terbiar. Kerja baik pulih hasil peruntukan daripada PLB dilakukan, namun tanpa perabot termasuk meja, kerusi, lampu, kipas dan sebagainya, bagaimana balai raya ini akan beroperasi,” katanya.
“Kita harap pihak bertanggungjawab dapat campur tangan dan membuat sesuatu bagi mencari jalan menyelesaikan perkara tersebut,” katanya.
Lebih malang lagi menurutnya, golongan yang menjadi dalam kejadian seperti ini adalah penduduk, selain turut menyukarkan pihak pentadbir baru mengendalikan urusan berkaitan komuniti







