Bantu golongan miskin bandar
KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat korporat dan badan kebajikan di negara ini disaran mengambil peranan membantu usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar terutamanya miskin bandar supaya agihan kekayaan negara dapat dinikmati semua golongan tanpa ada yang terpinggir.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengambil contoh penubuhan Yayasan Al-Bukhary yang bukan saja menyumbang pembangunan masyarakat termasuk pembinaan masjid dan rumah kebajikan, malah memainkan peranan di universiti dan hospital dengan membantu orang susah.
Menurutnya, walaupun dasar menghapuskan kemiskinan sudah dijalankan sekian lama sejak kepemimpinan terdahulu namun kerajaan mengakui masih ada penduduk dalam golongan itu.
“Tahun ini kerajaan mensasarkan kemiskinan tegar dapat diatasi sepenuhnya lebih-lebih lagi miskin bandar yang kehidupannya lebih susah berbanding di kampung. Di kampung, susah-susah pun boleh cari makanan sebab ada sumber pertanian.
“Kita percaya badan kebajikan seperti Yayasan Al-Bukhary bukan saja untuk beri sumbangan seketika malah memainkan peranan sehingga orang miskin dapat berdiri sendiri tanpa mengharapkan ‘welfare’ (kebajikan) berterusan.
“Kekayaan negara boleh dinikmati bersama dengan agihan dan peranan badan kebajikan seumpamanya selain dari dasar yang kerajaan laksanakan, sekali gus penduduk miskin boleh keluar dari putaran kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada 300 anak yatim, ibu tunggal serta golongan asnaf anjuran Yayasan Al-Bukhary di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.
Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Sumber : Harian Metro







