Bayar di pejabat pos
SUBANG: Bayaran saman trafik selepas ini boleh dilangsaikan di pejabat pos di seluruh negara selepas Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan mencapai persetujuan mengenainya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Choo Ha berkata, pelaksanaan pembayaran saman trafik di pejabat Pos itu dijangka dilaksanakan pada November ini.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih melakukan perbincangan mengenai kemungkinan ada caj tambahan dikenakan atau pun tidak kepada pesalah trafik yang menjelaskan saman di pejabat Pos.
“Kita jangka pelaksanaan pembayaran saman trafik di pejabat pos akan dimulakan November ini. Ia sekali gus bakal memudahkan urusan pengguna jalan raya menjelaskan saman.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah bertemu pihak Pos Malaysia Berhad berhubung kaedah yang akan dilaksanakan kelak serta keperluan mengenakan caj tambahan atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Majlis Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Subang, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways Berhad (Plus), Nik Airina Nik Jaafar dan Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abd Hamid.
Dalam perkembangan berkaitan, Kong berkata kementeriannya berpuas hati dengan segala persediaan dan pelaksanaan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sepanjang musim perayaan bagi menyusun serta menyuraikan trafik yang meningkat.
“Saya difahamkan pematuhan sistem TTA sudah mencapai kadar 50 peratus daripada pengguna jalan raya di negara ini dan terbukti melancarkan trafik berbanding sebelum ini.
“Apapun jangan pula kita terlupa keselamatan ketika berada di kampung halaman masing-masing pula selepas berjaya menerapkan disiplin di lebuh raya. Pada musim perayaan biasanya kemalangan lebih banyak berlaku di jalan kampung dan jalan persekutuan, ” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa memberi cenderamata mengandungi CD Cintailah Kehidupan ‘Elakkan Kesengsaraan Akibat Nahas Jalan Raya’ dendangan artis popular tempatan, tuala Plus, pelekat keselamatan dan risalah Cadangan Waktu Perjalanan.
Sumber : Harian Metro







