Bayi terhumban

August 18, 2010 | By | Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


TELUK INTAN: “Sebaik perlanggaran itu, saya sempat melihat seorang bayi tercampak keluar menerusi cermin tingkap kereta sebelum jatuh di atas rumput di bahu jalan.

“Selain itu, saya turut melihat seorang wanita yang duduk bersebelahan tempat duduk pemandu menjerit meminta tolong manakala, tiga penumpang lain yang berada di tempat duduk belakang kaku tidak bergerak serta mengalami kecederaan teruk dan berlumuran darah,” kata Latif Fadi, 40, saksi kejadian kemalangan yang meragut nyawa tiga penumpang dan mencederakan dua yang lain, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari di Kilometer (KM) 7, Jalan Maharajalela itu, kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki lima penumpang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori milik Jabatan Kerja Raya (JKR) menyebabkan tiga daripada mereka maut di tempat kejadian manakala, dua yang lain cedera parah.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Edy Nor Yanto Raman Sjahjudin, 45, dan pasangan suami isteri warga Indonesia dikenali sebagai Hozeiniye dan Abdullah Asnawi, 46.

Manakala, mangsa yang cedera dikenali sebagai Siti Samsiah Iman, 44, wanita warga tempatan yang juga isteri Edy Nor dan bayi angkat pasangan itu, Mohd Fahmi, enam bulan.

Latif berkata, ketika kejadian, dia sedang mengait buah pisang di kebunnya di tepi jalan kira-kira tiga meter dari lokasi kemalangan sebelum terdengar bunyi letupan kuat seakan tayar kereta pecah.

Katanya, dia yang pada mulanya terkejut dengan kejadian itu bergegas memeriksa sebelum mendapati sebuah kereta bertembung dengan sebuah lori.

“Sebaik letupan itu berlaku, saya melihat kereta dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas di kiri jalan.

“Saya sempat melihat seorang bayi tercampak keluar dari tingkap kereta. Namun, nasibnya baik kerana terjatuh di atas rumput,” katanya.

Katanya, tanpa membuang masa, dia terus menghubungi pihak polis sebelum kedua-dua mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sumber : Harian Metro

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Tags:

Category: Berita, Tempatan

About the Author ()

Leave a Reply