Bekas GRO, teman dipenjara 5 tahun
KUANTAN: Seorang bekas pelayan pelanggan (GRO) dan teman lelakinya mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menganiaya dan mengabaikan sehingga menyebabkan kematian Siti Nadia Mohamad, 3, di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas kedua-dua tertuduh, Nor Maliza Abdul Rahman, 31, dan Rasdi Abdul Rasid, 29, serta memerintahkan mereka dijamin RM3,000 setiap seorang dengan berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak 2001, iaitu secara bersama menganiaya, mengabaikan dan mendedahkan anak Nor Maliza, Siti Nadia dengan cara yang membawa kepada kecederaan fizikal di badan, anggota badan dan kepala yang membawa maut, antara jam 7 malam pada 21 Jun dan 4.30 pagi 26 Jun 2007.
Mariana memerintahkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Pada Julai 2007, mereka dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh Siti Nadia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Mariana berkata Nor Maliza dari Kampung Losong Haji Awang, Terengganu sebagai seorang ibu diberi amanah Allah untuk menjaga anaknya dengan sebaiknya dan kejadian itu sudah tentu akan diselubungi kekesalan sepanjang hayatnya.
Katanya, Rasdi pula dari Perkampungan Sungai Isap Perdana, di sini sepatutnya bertanggungjawab ke atas kanak-kanak itu kerana beliau tinggal bersama tertuduh pertama.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu, antara jam 7 malam pada 21 Jun dan 4.30 pagi 26 Jun 2007.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Mahmud, manakala Nor Maliza diwakili peguam Sairil Hamid Abdul Manaf dan Rasdi diwakili Peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim.
credit: bharian.com.my
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita, Jenayah, Pengajaran










