Buru geng Mat Connect
PASIR PUTEH: Penduduk Kampung Kemudu Bongkok dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan yang dilepaskan polis ketika mengejar dua penjenayah yang melarikan lori perabot dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia sedang berehat di beranda rumahnya sebelum terdengar satu bunyi tembakan yang disangkakannya mercun.
“Saya sangka ada kanak-kanak bermain mercun. Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya dengar dua lagi bunyi letupan sama. Saya mula syak ada sesuatu tidak kena dan pergi ke tempat kejadian.
“Ketika itu saya melihat polis mengejar dua lelaki dan lori perabot yang dipandu dua lelaki itu tersangkut pada tebing tali air,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Seorang lagi saksi yang juga enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia sedang mencari burung berhampiran tali air berkenaan dan sempat menyaksikan pergelutan polis dan dua suspek terbabit.
Metro Ahad difahamkan, kedua-dua suspek terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket curi kenderaan yang paling dikehendaki di pantai timur ini dan mereka dipercayai anggota geng Mat Connect yang kini dipercayai bertukar ketua selepas ketua sebenar ditahan polis Kelantan sebelum ini.
Geng itu kini dikatakan diketuai Hassan Budu dari Terengganu dan kejadian semalam dikatakan berlaku selepas kedua-dua suspek berkenaan menetak seorang anggota polis di Besut, menyebabkan anggota dari Ibu pejabat Polis Besut mengejar mereka hingga ke daerah ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, dijangka membuat sidang akhbar berhubung kejadian itu hari ini.
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita










