Fomca gesa sekat produk beracun
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyekat pengeluaran produk yang mengandungi bahan beracun dengan menarik produk terbabit daripada terus berada di pasaran.
Ini susulan pengeluaran produk belacan mengandungi rhodamine B yang boleh mengakibatkan barah serta menyerang hati pemakan.
Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, ketika dihubungi berkata, beliau berharap kerajaan bertindak lebih tegas dengan menyita barang yang didapati mengandungi bahan kimia berbahaya seperti itu.
“Kami tiada kuasa menyekat pengeluaran produk beracun. Kami hanya mampu mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati memilih produk.
“Namun, jika produk itu masih di pasaran dan pengguna terus berdegil membelinya, kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa membeli terletak di tangan pengguna,” katanya.
Beliau berharap kerajaan menubuhkan badan khusus bagi memantau pengeluaran produk sebelum dipasarkan yang diharap dapat mengawal produk tidak baik memasuki pasaran.
“Badan itu mungkin dapat memastikan kemasukan produk di pasaran dijamin keselamatannya dan syarikat yang mengeluarkan produk makanan juga lebih berhati-hati,” katanya.
Sumber : Harian Metro







