Ganti kerusi, meja kayu di sekolah
RANTAU PANJANG: Kementerian Pelajaran dalam proses pelaksanaan menggantikan semua kerusi dan meja kayu kepada plastik di semua sekolah berisiko dilanda banjir di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan itu diambil untuk menyelesaikan masalah kerosakan peralatan dihadapi sekolah yang dilanda banjir sekali gus membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak terganggu.
“Setakat ini tidak ada sebarang aduan berhubung kerosakan kerusi dan meja di sekolah yang dilanda banjir termasuk di Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas, tetapi cadangan sudah diberikan kepada pihak sekolah untuk menggunakan kerusi dan meja plastik.
“Kita sebenarnya dalam proses pelaksanaan menukar kerusi dan meja plastik di sekolah berisiko dilanda banjir selain mengarahkan bilik kritikal seperti pentadbiran sekolah mesti diletakkan di tingkat atas,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke sekolah dilanda banjir di negeri ini termasuk meninjau keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang dekat sini, semalam.
Hasil pemantauan mendapati 1,203 pelajar di empat sekolah termasuk SK Simpang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda dan SK Bendang Pak Yong di Tumpat serta SK Bihai, Gua Musang, masih bercuti berikutan sekolah terbabit ditutup akibat banjir.
Pada masa sama, beliau turut menyerahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan untuk membuat sebarang keputusan sama ada sekolah dilanda banjir perlu dibuka atau sebaliknya berdasarkan keadaan semasa.
Beliau berkata, banjir luar biasa di Kedah baru-baru ini turut menyebabkan banyak kerosakan peralatan sekolah termasuk kerusi serta meja dan tindakan segera menggantikannya dilakukan kementerian.
“Kita sudah membuat penilaian jumlah kerosakan akibat banjir di Kedah. Permohonan mendapatkan peruntukan tambahan dilakukan bagi menggantikan kerosakan peralatan terbabit,” katanya.
Sumber : Harian Metro










