Ibu Bapa Harus Awasi Anak Layari Internet, Kata Musa Hassan
KULIM, 28 Okt (Bernama) — Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak yang melayari internet bagi memastikan mereka benar-benar terselamat daripada menjadi mangsa penjenayah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kajian mendapati kebanyakan remaja mudah percaya dengan orang yang hanya dikenali secara “online” dan mereka sering memberikan maklumat peribadi seperti latar belakang diri, alamat rumah, sekolah serta lain-lain maklumat peribadi keluarga.
“Remaja sekarang tidak selamat walaupun semasa berada dalam rumah jika ibu bapa tidak ambil tahu aspek pergaulan anak-anak mereka,” kata Musa pada Majlis Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis MRSM se-Malaysia Ke-6 di sini Rabu.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Pengurusan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Razak Bokhari.
Musa berkata kajian pakar teknologi berhubung dengan keselamatan internet (Internet Safety) mendapati 71 peratus golongan remaja yang berusia antara 13 dan 17 tahun sering menerima mesej secara online daripada orang yang mereka tidak dikenali.
“Daripada jumlah itu, 40 peratus remaja akan menjawab mesej dari orang yang tidak dikenali manakala 45 peratus pula pernah ditanya maklumat peribadi dan 30 peratus pernah berjumpa dengan orang dikenali menerusi dalam talian internet sahaja,” katanya.
Katanya berdsarkan perangkaan itu, ia menunjukkan bahawa remaja tidak selamat walaupun berada di rumah jika ibu bapa tidak mengambil tahu kegiatan anak yang melayari laman-laman web tertentu.
Perkhemahan kadet polis di Kem Batalion 2 Pasukan Gerakan Am itu disertai oleh 1,400 pelajar dari 35 buah MRSM dari seluruh negara.
– BERNAMA










