Iklan bergerak promosi pelancongan domestik
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan semalam, melancarkan kempen pengiklanan bergerak ‘moving billboard’ dan ‘ambient mobile advertising’ sebagai satu bentuk promosi terbaru kementerian dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata kempen pengiklanan bergerak ini adalah satu inisiatif pihaknya untuk memperhebatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara sendiri.
“Dua buah unit trak akan bergerak ke seluruh negeri di Semenanjung sehingga akhir tahun ini dengan membawa dua konsep pengiklanan yang berbeza dan salah sebuah trak itu bertemakan ‘moving billboard’ untuk digunakan bagi mempromosikan acara anjuran Kementerian Pelancongan seperti Citrawarna, Cuti-Cuti 1Malaysia dan sebagainya.
“Sebuah trak lagi berkonsepkan ‘ambient mobile truck’ yang mampu memuatkan 20 orang pada satu-satu masa dan berfungsi sebagai Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) bergerak bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tentang pelancongan negara ini,” katanya selepas Pelancaran Kempen Pengiklanan Bergerak di Pusat Pelancongan Malaysia (MatiC), semalam.
Kempen ini dapat membantu menyebarkan maklumat penting yang berkaitan dengan acara anjuran Kementerian dan juga Pelancongan Malaysia kepada masyarakat. Hadir sama, Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Victor Wee.
Menurut Dr Ng, langkah yang mesra rakyat ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan terulung khususnya bagi pasaran domestik dan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya industri pelancongan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.
Beliau berkata, kementerian mensasarkan 100 juta perjalanan domestik pada 2011 iaitu peningkatan 10 peratus daripada 2009.
Sumber : Harian Metro










