Isteri meraung suami digantung

KUALA TERENGGANU – Suasana di dalam kamar Mahkamah Tinggi dekat sini tiba-tiba bertukar hiba apabila isteri dan ahli keluarga Borhanuddin Salleh, 43, meraung ketika hukuman gantung sampai mati dijatuhkan ke atasnya semalam.
Bagaimanapun, bekas penyelia sebuah kilang yang juga bapa kepada enam anak itu kelihatan tenang tanpa berkata apa-apa apabila dia dijatuhkan hukuman tersebut kerana didapati bersalah memiliki lebih 2 kilogram ganja Oktober lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di tepi jalan di Beserah, Kuantan, Pahang kira-kira pukul 9 malam dan hasil soal siasat, tertuduh mengaku memiliki dadah yang disimpan di rumahnya di Kampung Pengkalan Pandan, Kemaman.
Hasil maklumat tersebut, pihak polis menggeledah rumah tertuduh kira-kira pukul 12.30 pagi 3 Oktober lalu dan menemui ganja seberat 2.318 kilogram ganja di dalam bungkusan di atas lantai bilik air di bilik tidur utama.
kredit : kosmo.com.my










