Isu PMR & UPSR : Usah Cepat Melatah
Isu sistem pendidikan negara kembali menarik perhatian khalayak dan menjadi
perbualan hangat apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melontarkan
cadangan untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Cadangan ini muncul hasil penelitian pihak kementerian yang mendapati sistem
pendidikan negara yang sedia ada sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan
dan tidak berapa membantu dalam melahirkan modal insan yang cemerlang seperti
yang dihasratkan oleh semua pihak.

Lantaran cadangan tersebut, maka mula kedengaran pelbagai maklum balas yang berbentuk pandangan, cadangan, syor dan juga penentangan dari pelbagai pihak yang berkaitan.
Antara pihak yang mula melontarkan pandangan masing-masing ialah badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan, parti poltik dan juga para guru dan pelajar secara individu yang mula mengemukakan berbagai maklum balas mengikut pandangan dan persepsi masing-masing.
Ada yang dengan lantang terus menolak cadangan tersebut dengan alasan mereka tersendiri. Ada pula yang terus menyokong 100 peratus cadangan pemansuhan tersebut. Tidak kurang juga yang memberikan cadangan baru seperti hanya memansuhkan salah satu daripada dua peperiksaan tersebut sama ada UPSR ataupun PMR dan bukannya kedua-duanya sekaligus.
Senario ini menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah mula berkembang menjadi sebuah masyarakat yang cukup responsif dengan apa yang berlaku di sekitar mereka lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan soal kepentingan umum seperti isu pemansuhan UPSR dan PMR ini.
Ternyata tindakan sebegini amat membantu pihak–pihak yang berkenaan
terutamanya pihak KPM dalam memperhalusi kembali cadangan mereka dengan
mengambil kira pandangan dan maklum balas tersebut baik dari sudut pro mahupun
dari aspek kontranya.
Namun satu perkara yang tidak patut timbul ialah ada pihak yang terlalu cepat
melatah dan membuat rumusan hanya berdasarkan persepsi sendiri semata-mata
lantas tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan pemansuhan tersebut. Lebih
menyedihkan lagi apabila isu masa depan anak-anak ini telah dijadikan isu poltik
apabila ada juga pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan menjadikan
isu ini sebagai modal politik mereka bagi menghentam pihak kerajaan. Bagi
golongan ini apa sahaja yang dicadangkan oleh pihak kerajaan semuanya tidak
betul. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan budaya menentang dan tidak
bersetuju.
Kita percaya KPM yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri telahpun
berfikir panjang sebelum mengemukakan cadangan tersebut. Sudah pastinya mereka
telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar
rujuk yang profesional sebelum berani melontarkan cadangan ini. Maka klahayak
perlu melihat secara rasional kebaikan dan keburukan cadangan tersebut.
Pada masa yang sama, kita juga wajar puji sikap keterbukaan KPM dan TPM
sendiri yang mengalu-alukan pandangan dan maklum balas semua pihak mengenai
cadangan pemansuhan ini. Ini kerana perkara ini masih dalam peringkat cadangan
semata-mata dan belum ada sebarang keputusan muktamad dari pihak kerajaan. Ia juga menunjukkan masih ada ruang untuk perbincangan.
Maka wajarlah kita menggunakan peluang dan ruang yang disediakan oleh KPM
ini untuk mengutarakan maklum balas yang bernas dan membina dengan justifikasi
yang rasional dan kukuh supaya ianya dapat membantu KPM membuat keputusan yang terbaik demi masa depan generasi yang akan datang.
Sejarah membuktikan bahawa tindakan-tindakan pihak kerajaan sebelum ini
seperti menukar peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kepada PMR serta
memperkenalkan sijil terbuka di peringkat SPM memang telahpun ditentang dan
tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak pada peringkat awalnya. Namun setelah
ianya telah dilaksanakan, kesemua pihak yang pada mulanya tidak bersetuju
akhirnya sedar dan mengakui kelebihan dan kebaikan pembaharuan tersebut.
Sudah tiba masanya untuk kita berfikiran lebih terbuka dan memikirkan dengan
lebih serius masa depan anak-anak kita. Untuk melahirkan modal insan yang hebat
dan holistik kita perlu segera membuat penambahbaikan ke atas sistem pendidikan
yang sedia ada. Kita tidak mahu sistem yang ada pada hari ini hanya mampu
melahirkan generasi yang hebat di atas kertas peperiksaan semata-mata ataupun
dalam lain perkataan handal dari aspek teori sahaja tetapi gagal menterjemahkan
kehebatan itu dalam bentuk tindakan ataupun praktikal.
Justeru usahlah kita cepat melatah dan terus menentang cadangan pemansuhan ini. Kemukakanlah maklum balas yang membina kepada KPM agar dapat membantu mereka membuat keputusan yang terbaik demi masa depan anak-anak kita.
dihantar oleh Saudara
NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
Gambar dari Blog Cikgu Azemi
Admin BHO – Ingin menghantar artikel/cerpen/berita terkini? Hantar melalui email atau borang di Hubungi BHO
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: BHO Blog










