Jakim, JHEAIK pusat rujukan halal
KOTA BHARU – Karnival Halal Kelantan 2011 yang bakal diadakan pada 28 Mei ini dilihat sebagai wadah untuk menyedarkan masyarakat bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) merupakan pusat rujukan berwibawa berkaitan pensijilan halal.
Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh semasa membentangkan matlamat penganjuran karnival berkenaan berkata, objektif itu merupakan antara tujuannya selain memberi kesedaran kepada pengguna tentang produk halal yang mendapat pensijilan halal Malaysia dan menjadi platform bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) terutama Bumiputera memperkenalkan produk mereka.
“Kita mahu meyakinkan masyarakat bahawa Jakim dan JHEAIK adalah pengeluar sijil halal yang berwibawa. Di sini, kita akan promosikan pensijilan halal agar masyarakat benar-benar peka terhadap kepentingan logo halal yang semestinya menawarkan produk yang bukan sahaja bersumber halal tetapi terjamin daripada aspek mutu, kebersihan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Tambahnya, Karnival Halal Kelantan sebenarnya telah berlangsung sebanyak enam kali termasuk tahun ini iaitu pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2010.
“Karnival tahun ini agak istimewa kerana kita bergandingan dengan Jakim. Banyak aktiviti istimewa pada karnival kali ini, misalnya kita akan mengadakan rakaman televisyen bagi dua sesi Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan uji bakat peserta program Adik-Adikku musim terbaharu,” ujarnya.
Karnival Halal Kelantan 2011 yang dianjurkan oleh JHEAIK dengan kerjasama Jakim akan diadakan di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu selama tiga hari.
Selain ruang pameran dan jualan, karnival itu akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya seminar pensijilan halal untuk pengusaha industri perhotelan, seminar panduan restoran halal, kempen menderma darah dan demonstrasi masakan.
Che Mohd. Rahim berkata, berdasarkan pelbagai aktiviti menarik yang bakal disajikan itu, pihaknya menjangkakan seramai 50,000 orang akan mengunjungi karnival berkenaan.
Mereka yang berminat untuk menjadi penyewa ruang pameran boleh melengkapkan borang yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! dan faks ke 03-2166 1148. Sila hubungi talian 03-2171 1128 untuk maklumat lanjut.
kredit : kosmo.com.my







