Jangan jadi jalan ‘sungai maut’
SERDANG: “Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu dengan cermat dan berhemah. Jangan jadikan lebuh raya dan jalan raya sebagai ‘sungai maut’ ketika perayaan Aidilfitri nanti,” demikian peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Ingatan Perdana Menteri itu disuarakan menerusi rakaman video khas ‘Mesej Perdana Menteri Bersempena Musim Perayaan Aidilfitri 2010’ yang dilancarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor di sini.
Najib menyeru orang ramai yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman supaya mementingkan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan rasa syukur dan gembira agar kita semua dapat merayakan Aidilfitri tanpa ada kemalangan yang mengorbankan nyawa anggota keluarga,” katanya.
Najib turut berharap semoga semua pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan dapat mengutamakan keselamatan sewaktu musim perayaan baik semasa pergi mahu pun pulang ke destinasi masing-masing.
Sumber : Harian Metro










