Keberkesanan DEB sudah terbukti
KERAJAAN tidak bercadang mengubah polisi berlandaskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Bumiputera dan juga kaum lain di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata keberkesanan DEB sudah terbukti apabila kadar kemiskinan masyarakat Bumiputera ketika ini hanya 5.1 peratus berbanding 23 peratus pada 1990 dan 64.8 peratus ketika DEB mula dilaksanakan pada 1971.
“Dasar Pembangunan Nasional (DPN) bermula daripada 1991-2000, Dasar Wawasan (2001- 2010) dan Misi Nasional sehingga 2020 tetap mengekalkan semangat DEB.
“Ia adalah satu semangat yang akan terus diamalkan oleh negara dengan konsep pertumbuhan dan pengagihan yang seimbang antara semua kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (BN-Jerantut) yang ingin tahu sejauh manakah kejayaan kaum Melayu sejak DEB dilaksanakan.
Beliau berkata, pendapatan purata masyarakat Bumiputera juga meningkat daripada RM172 pada 1970, RM640 (1990) dan purata RM3,156 ketika ini.
Selain itu, katanya, purata masyarakat Bumiputera yang tinggal di bandar ketika ini ialah 56.3 peratus berbanding 22.7 peratus pada tahun 1990.
“Ini menunjukkan taraf hidup Bumiputera semakin meningkat dan ia menunjukkan kejayaan DEB yang boleh dibanggakan,” katanya.
Nor Mohamed berkata, pembabitan masyarakat Bumiputera dalam kerjaya profesional juga menunjukkan pertambahan yang menggalakkan.
“Sebagai contoh jumlah Bumiputera yang bekerja sebagai arkitek ketika ini ialah 46.2 peratus atau 536 orang berbanding hanya 4.3 peratus (12 orang) dan 23.6 peratus (231 orang), masing-masing pada 1970 dan 1990.
“Bagi akauntan, jumlahnya hanya 6.8 peratus (40 orang) pada 1970, tetapi ia meningkat 11.2 peratus (629 orang) pada 1990 dan pada hari ini seramai 5,500 akauntan Bumiputera berjaya dilahirkan,” katanya.
credit:bharian.com.my











Mana boleh dapatkan maklumat yang terperinci tentang keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dari segi kadar kemiskinan mengikut bandar dan luar bandar, negeri, etnik ?