Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum menjadi aspek utama yang begitu diambil berat Yang di-Pertuan Agong

June 2, 2012 | By | Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


SERI Paduka diiringi Tuanku Haminah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara pada April lalu.

KEHARMONIAN dan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang menjadi asas keamanan dan ketenteraman di negara ini menjadi aspek utama yang begitu diambil berat Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sebagai tunggak negara, baginda yang menyambut ulang tahun keputeraan rasmi pertama hari ini, selepas ditabalkan sebagai Yang i-Pertuan Agong pada April lalu, di majlis rasmi dihadiri, selalu mengingat dan menyeru rakyat supaya mengukuhkan perpaduan dan memberikan sokongan kepada Kerajaan bagi memastikan semua agenda transformasi dan pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan.

Baginda menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 untuk tempoh 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011.

Sebelum ini, Tuanku Abdul Halim pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Baginda, ketika merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-12, pada 12 Mac lalu bertitah, rakyat perlu mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara atau cuba menidakkan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Rakyat juga titahnya, perlu menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara dan sentiasa berusaha memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang.

“Beta juga berharap pemimpin pada setiap peringkat, cendekiawan, media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional,” ujar baginda.

Sebagai ketua agama pula, Tuanku Abdul Halim menyeru semua umat Islam mencontohi perjuangan Nabi Muhammad yang berjaya mendidik, memimpin dan membawa masyarakat jahiliah berhijrah daripada kekufuran serta kejahilan kepada umat memiliki keimanan kental dan ketinggian ilmu.

Baginda bertitah, kegigihan Rasulullah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zamannya dan zaman Khalifah ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga menjadi tamadun yang gemilang.

Bagi mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

“Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai suatu ibadat yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global.

“Contohilah keunggulan peribadi Rasulullah dalam melaksanakan perintah Allah hingga melahirkan masyarakat Islam terhebat serta menjadi teladan kepada dunia hingga kini,” titah baginda sewaktu merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, baru-baru ini.

Sewaktu bertitah sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 279 penerima di Istana Melawati baginda menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha Kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang tidak menentu.

Titah baginda, rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih berikutan daripada kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi ekoran kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan perdagangan dunia yang lebih perlahan.

“Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia. Jadi, seluruh rakyat Malaysia, termasuk warga Wilayah Persekutuan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara,” titah baginda.

Yang Dipertuan Agong ke-14 turut aktif menghadiri pelbagai aktiviti tidak kira dalam bidang sosial, agama, pendidikan dan sukan.

Antara aktiviti yang dihadiri Tuanku Abdul Halim bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun, termasuklah Istiadat Perbarisan dan Penganugerahan Watikah Tauliah membabitkan 302 Pegawai Kadet UPNM bagi 2011 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi; merasmikan Pameran Bonsai dan Orkid Kuala Lumpur 2012 di Taman Botani Perdana; menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia PETRONAS 2012 pusingan dua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan menghadiri Malam Anugerah Pelancongan Malaysia 2010/2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PICC).

Sementara itu, baru-baru ini, sempena Istiadat Konvokesyen Ke-76 Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuanku Abdul Halim dimasyhurkan sebagai Canselor universiti berkenaan.

Credit – bharian.com.my

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Category: Berita

About the Author ()

Leave a Reply