Kepala digilis treler
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki terbunuh selepas kepalanya digilis sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 8.5 Jalan Skudai menghala ke pusat bandar berhampiran Bandar Baru Uda, pagi semalam.
Terdahulu dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai M Punyya Moorthy, 39, dari Jalan Jagung, Bandar Baru Uda, dipercayai menuju ke tempat kerja sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Jurucakap polis berkata, motosikal Honda Wave ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan treler dari arah sama menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terbalik.
“Hasil siasatan awal, kami percaya sebaik terbalik, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan digilis treler berkenaan menyebabkan dia cedera parah di kepala dan dada sebelum maut di tempat kejadian.
“Bagaimanapun kita tidak boleh membuat sebarang andaian awal berikutan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya, semalam. Kejadian awal pagi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang enam kilometer selama dua jam bagi memberi peluang kepada polis menjalankan siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya (HK) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berikutan itu orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran
Sumber : Harian Metro







