Kerajaan prihatin masa depan Siti Amynur
SEREMBAN: Kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada Siti Amynur Ain Putri Rosdy yang menjadi yatim piatu apabila ibunya meninggal dunia sehari sebelum menerima keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, berkata beliau akan memastikan Siti Amynur Ain Putri menerima bantuan sewajarnya supaya berjaya dalam pelajaran dan meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Katanya, Siti Amynur Ain Putri juga dicadangkan ditempatkan di sekolah berasrama penuh kerana memperoleh 5A UPSR.
“Saya akan memastikan nasib Siti Amynurdan abangnya, Mohd Amin Azaly, 14, terbela selepas kematian ibunya, Rusmah Abdullah, akibat tekanan darah rendah.
“Ibu saudara yang dipertanggungjawabkan menjaga mereka juga dipastikan menerima bantuan sewajarnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas melawat dua beradik itu di Rumah Murah Dusun Nyior di sini, semalam.
Kematian ibu Siti Amynur menyebabkan beliau dan abangnya menjadi yatim piatu kerana bapa mereka meninggal dunia empat tahun lalu akibat penyakit Tibi.
Yunus berkata, antara bantuan yang boleh diberikan kepada dua beradik itu termasuk bantuan kemiskinan bandar daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JKM dan Baitulmal.
“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, supaya bantuan dapat diberikan segera bagi memastikan mereka meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Khamis lalu, Siti sepatutnya menerima keputusan UPSRnya dengan gembira kerana mendapat keputusan cemerlang.
Bagaimanapun, beliau menerima keputusan itu di depan jenazah ibunya yang meninggal pada malam sebelum keputusan UPSR diumumkan
credit:bharian.com.my
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita, Hari ini, Pengajaran










