Kes kecemasan meningkat
DAMMAM: Jumlah pesakit yang dimasukkan ke bilik kecemasan, baik di hospital kerajaan mahupun klinik swasta semakin meningkat sejak Ramadan bermula.
Doktor dan pegawai perubatan berkata, kebanyakan kes kecemasan itu ada hubungan dengan puasa.
“Ada peningkatan dalam kes darah tinggi, cirit-birit, pedih hulu hati dan masalah yang berkait dengan sistem penghadaman,” kata seorang doktor di bahagian kecemasan Hospital Pusat Dammam.
“Masalah kesihatan seumpama ini adalah biasa pada Ramadan tetapi orang ramai tidak mengawal diri sebaliknya makan sepuas-puasnya ketika berbuka,” katanya.
Menurutnya, sejumlah mereka yang dimasukkan ke hospital adalah penduduk warga asing yang makan secara berlebihan makanan yang banyak lemak seperti daging dan produk tenusu.
“Hospital dan klinik biasanya menyaksikan peningkatan kes kecemasan sejurus selepas Iftar apabila mereka yang berpuasa berbuka tanpa mengawal diri,” kata Dr Basem Futa, pakar penyakit kencing manis.
“Makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan minuman yang manis sudah pasti meningkatkan kandungan gula dalam darah dan membawa kepada masalah jantung,” katanya.
Seorang jururawat di bahagian kecemasan Hospital Universiti Raja Khaled di Riyadh berkata, kebanyakan mereka yang dimasukkan ke dalam wad kecemasan hospital itu mengalami sakit perut selepas berbuka. – Agensi
Sumber : Harian Metro
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita, Luar Negara










