KHAZANAH meninjau membeli aset dan membida projek yang mampu menjana margin keuntungan tinggi di Turki

January 28, 2012 | By | Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


KHAZANAH Nasional Bhd, akan terus meninjau peluang membeli aset berpotensi dan membida projek yang mampu menjana margin keuntungan tinggi di Turki.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata Turki negara ekonomi baru muncul yang menikmati pertumbuhan tinggi dengan kedudukan strategik yang menghubungkan benua Asia Barat dengan Eropah.

“Turki penting bagi kami. Kami sudah meninjau beberapa cara dan peluang untuk meningkatkan hubungan dua hala dari segi ekonomi dan perdagangan. Pelaburan kami dalam Acibadem Group menyediakan platform untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya di Istanbul, baru-baru ini.

Beliau berada di ibu negara Turki itu bagi menyempurnakan pertukaran dokumen sempena penyempurnaan pembelian 75 peratus kepentingan Acibadem Saglik Yagtirimlari Holdings AS (ASYH), syarikat induk rangkaian perubatan swasta terbesar Turki, Acibadem Saglik Hizmetleri ve Ticaret AS (Acibadem) oleh Integrated Healthcare Holdings dan Khazanah.

Azman berkata, dengan pelaburan dalam Acibadem, Khazanah kini bertapak kukuh di Turki, khususnya apabila ia menjalin pakatan dengan Aydinlar, antara tokoh perniagaan berpengaruh di republik itu, sekali gus membuka peluang untuk meninjau pelaburan berpotensi seterusnya.

“Buat masa ini, pelaburan kami dalam penjagaan kesihatan dan seperti umum ketahui keluarga Adynlar juga berpengalaman dalam banyak sektor lain.
“Pembelian ekuiti Acibadem adalah pelaburan langsung pertama Khazanah di Turki dan pelaburan besar kedua kumpulan selepas pemilikan sebahagian kepentingan ekuiti Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha-Gokcen (ISGIA) oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Juga diumumkan sebelum ini mengenai bidaan projek pembinaan serta penyelenggaraan lebuh raya oleh UEM Group Bhd,” jelas beliau.

MAHB, pengendali lapangan terbang dan juga anak syarikat Khazanah, memiliki 20 peratus ekuiti dalam Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Operation Inc (ISG) iaitu konsortium yang mengurus dan mengendalikan ISGIA dengan tempoh konsesi 22 tahun.

Sementara itu, UEM Group, sebuah lagi anak syarikat Khazanah, baru-baru ini dilaporkan membida projek pembinaan dan pengendalian dua jambatan yang merentas Laut Bosphorus serta lapan lebuh raya sepanjang 2,000 kilometer.

Mengikut Agensi Promosi dan Sokongan Pelaburan Turki, antara sektor paling menarik bagi pelaburan di negara ekonomi ke-17 terbesar dunia itu kini ialah automotif, tenaga, penjagaan kesihatan, hartanah, penerbangan dan kewangan.

Kerajaan Turki dilaporkan bercadang melabur sehingga AS$130 bilion dalam sektor tenaga menjelang 2033 dan AS$10 bilion dalam sektor penjagaan kesihatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Agensi itu berkata, Turki adalah destinasi pelaburan asing langsung (FDI) ke-15 paling menarik di dunia.

Katanya, selain mempunyai akses kepada pelbagai pasaran di Asia Barat serta Eropah, negara itu juga memiliki jumlah penduduk remaja paling ramai di Eropah; memiliki 33 syarikat pembinaan gergasi global; pengeluar kapal layar kelima terbesar dunia; pengeluar keluli kelapan terbesar; sektor automotif ke-16 terbesar dunia dan pengeluar kenderaan komersial terbesar Eropah.

Credit – Bharian.com.my

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Category: Kewangan

About the Author ()

Leave a Reply