Kwong Beng mara, Darren tersingkir

NASIB berbeza dialami dua pemain perseorangan lelaki negara, Chan Kwong Beng dan Liew Darren pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Jerman semalam.
Ketika Kwong Beng berjaya mara ke pusingan kedua, Darren pula gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tersingkir pada aksi yang berlangsung di Mulheim itu.
Turun menentang pemain England, Harry Wright, Kwong Beng pada awalnya dilihat tidak berdepan halangan untuk mencatatkan kemenangan.
Namun, segala-galanya berubah apabila dia dipaksa bekerja keras sebelum menang 11-21, 21-15, 21-18 untuk memastikan slot ke pusingan kedua menjadi miliknya.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kwong Beng berdepan cabaran pemain Hong Kong, Nan Wei pada aksi pusingan kedua hari ini.
Nan Wei mara ke pusingan kedua selepas mengenepikan cabaran pemain Amerika Syarikat, Bjorn Seguin 21-17, 21-12 pada satu lagi aksi pusingan pertama semalam.
Terdahulu, tuah ternyata tidak menyebelahi Darren apabila dia yang berdepan pemain India, Ajay Jayaram gagal mengekalkan rentak cemerlang biarpun pada suatu ketika bangkit daripada ketinggalan.
Biarpun menang pada set pertama namun ia masih belum cukup untuk menjamin kemaraan Darren ke pusingan kedua selepas Jayaram bangkit untuk memenangi dua set berikutnya.
Pada aksi tersebut, Darren tewas 21-15, 18-21, 18-21 di tangan Jayaram.
kredit : kosmo.com.my










