Laporan jambatan runtuh dibentang pada mesyuarat Sabtu ini
IPOH: Semua laporan dan hasil siasatan berhubung kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan sehingga mengakibatkan tiga murid maut akan dibentang pada mesyuarat jawatankuasa khas Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohd Zahir Abdul Khalid, berkata mesyuarat yang dijangka berlangsung di sini pada jam 10 pagi itu akan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
“Semua pihak yang terbabit termasuk Jabatan Pelajaran, Jabatan Kerja Raya dan polis akan bersama-sama dalam mesyuarat khas itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain itu, difahamkan beberapa pihak termasuk syarikat yang membina jambatan berkenaan, guru dan PPD telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan terperinci berhubung kejadian itu.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu untuk membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada Alimuddin.
Muhyiddin berkata, walaupun beliau dimaklumkan jambatan gantung itu adalah sumbangan sebuah syarikat, jawatankuasa berkenaan akan menyiasat sama ada pengawasan ketika kerja pembinaan jambatan gantung itu telah dilaksanakan dan sama ada pembinaan jambatan gantung itu mengikut spesifikasi yang sepatutnya.
Dalam kejadian Isnin lalu, tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di pusat kokurikulum itu runtuh pada kira-kira jam 10.30 malam.
Ia berlaku ketika aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran PPD Kinta Selatan yang membabitkan 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.
Mayat Dina Dewe a/p Nathan, 11, ditemui pada jam 8.40 pagi Selasa lalu berhampiran loji di sungai itu kira kira empat kilometer dari tempat dia terjatuh
Mayat Diryasree a/p Vasudevan, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng ditemui pada jam 10.45 pagi ini berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 km dari tempat kejadian, manakala, mayat Davadharshini a/p Maheswaran, 11, dari SJK (T) Mambang Diawan ditemui terapung pada jam 11.30 malam tadi berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang, 15 km dari tempat kejadian.
credit:bharian.com.my












pihak yang bertanggungjawab membina jambatan gantung ,patut dipersalahkan…sepatutnyer perlu ada quality control untuk memastikan jambatan tersebut berfungsi dengan baik .Baru 2 minggu siap,tak layak lagi dibuka untuk org ramai sbb tiang pada cengkaman tanah belum kuat lagi.Perlu ada unit piawaian untuk meluluskan jambatan ini.Pihak JKR juga perlu peka setiap projek dari tender atau individu perseorangan jika tender tersebut melibatkan org lain.Perlu ada proposal untuk meluluskan sesuatu projek
ucapan takziah saya pada setiap keluarga yang terlibat dalam insiden ini.Perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku walaupun kemalangan ada di mana-mana jika pihak khasnya kontraktor memenuhi specifikasi yang di perlukan untuk membina jambatan. Ini baru berapa kilogram berat bebanan yang di tanggung oleh jambatan tersebut dah runtuh, sapa nak jawap tu. Jika ada pun berat bebanan yang mampu di tanggung sesebuah jambatan
perlu ada papan notis yang jelas untuk di lihat dan di baca oleh orang ramai atau pengguna jambatan gantung tersebut di letak berdekatan dengan tempat tersebut. Jika berat yang tak sampai setengah tan pun dah runtuh bukan jambatan namanya, itu perangkap maut!