Loji Rawatan Air Langat 2 mesti siap menjelang 2014
PUTRAJAYA: Jutaaan penduduk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menghadapi masalah kekurangan bekalan air menjelang 2014 jika projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, (LRAL 2) yang bakal bermula pada 1 Ogos ini tidak berjaya disiap menjelang tempoh berkenaan.
Kegusaran itu diakui sendiri Menteri Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin yang mengakui projek kerajaan persekutuan bernilai kira-kira RM317 juta itu memerlukan kerjasama Kerajaan Selangor untuk dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, buat masa ini, pampasan pengambilan tanah kira-kira RM300 juta sudah diselesaikan dan hanya urusan pampasan 80 lot pengambilan tanah tambahan saja yang masih tertangguh.
Menurutnya, projek itu akan dijalankan bermula pada 1Ogos depan dan jika tidak ada sebarang masalah ia dijangka dapat disiapkan pada 31 Mei 2014.
Chin berkata, projek itu penting bagi menyalurkan bekalan air yang mencukupi bagi Selangor, Kuala Lumpur dan
Putrajaya yang permintaannnya dijangka meningkat menjelang tempoh berkenaan.
“Sebenarnya, jika Kerajaan Selangor melengahkan usaha dirancang bagi Pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor PPAMPS)….negeri itu bakal mengalami masalah kekekurangan bekalan air mulai 2012.
“Kapasiti bekalan air sedia ada yang efektif sehingga akhir tahun adalah 4,326 juta liter sehari (jlh) dan purata unjuran pada tahun itu kira-kira 4,625 jlh selepas mengambil kira kepesatan pembangunan di negeri itu dan berdasarkan itu, pada 2012 Selangor dijangka mengalami kekurangan bekalan air, kira-kira 299 jlh,” katanya pada sidang media selepas
Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Teknologi Hijau dan Air dan Agensi Di Bawah kementerian, di sini, semalam.
Sumber : Harian Metro







