Mahkamah Siber Tangani Penggodam

April 17, 2012 | By | Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


Dewasa ini penggunaan Internet untuk melaksanakan tugasan harian merupakan satu kemestian malah menjadi keperluan utama.

Cybersecurity antara agensi bertanggungjawab mengawal selia berkenaan keselamatan siber di negara ini.

Selain mudah, pantas dan ringkas, perkhidmatan melalui Internet dilihat lebih berkesan dalam mendepani kehidupan seharian yang sibuk.

Namun, di sebalik kemudahan Internet tersebut, pastinya terselit juga mereka yang ingin mengambil kesempatan serta mencari keuntungan melaluinya.

Malah, lebih berbahaya Internet juga boleh menjadi salah satu ‘alat’ untuk seseorang melakukan kegiatan jenayah.

Pelbagai jenis jenayah siber antaranya penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian ke atas program atau data komputer dan kecurian maklumat.

Antara lain capaian secara tidak sah ke atas sistem, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, skim cepat kaya, penggodam atau hacker serta penyebaran virus.

Keseriusan ancaman tersebut mendorong pihak-pihak tertentu mengambil langkah proaktif bagi menangani jenayah siber di negara ini termasuk menerusi kempen kesedaran dan dan program termasuk seminar.

Sebelum ini satu seminar telah diadakan berkenaan perkara tersebut melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (SCSM) bertemakan Merapatkan Jurang: Perundangan dan Teknikal Mengenai Kes Jenayah Siber.

Seminar tersebut menarik perhatian memandangkan jenayah siber merangkumi aspek perundangan dan teknikal.

Maka, golongan perundangan dan teknikal perlu duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian manakala pendedahan serta perbincangan yang lebih mendalam berkenaan isu-isu perundangan yang timbul hasil daripada penyiasatan dan pendakwaan kes jenayah siber sebelum ini perlu diketengahkan.

Penjenayah di dunia maya boleh diibaratkan sebagai ‘hantu’ kerana pihak berkuasa sukar untuk mengesan mereka.

Malah, kadang kala penjenayah ini lebih cilik serta bijak memanipulasi perkhidmatan Internet untuk menipu pihak berkuasa bagi mengelakkan mereka ditahan.

Bahkan jika mereka ditahan, pihak pendakwa pula akan menempuh kesukaran untuk menyediakan bahan bukti serta pertuduhan ke atas mereka kerana ia banyak melibatkan isu teknikal berkaitan perkakasan serta perisian Internet.

Pengamal undang-undang juga rata-rata tidak memiliki latar belakang dunia siber yang kukuh menyebabkan mereka gagal memahami pendakwaan seterusnya mengakibatkan penjenayah siber gagal dihukum dengan lebih tepat dan adil.

Pada seminar tersebut, Pensyarah Fakulti Perundangan Universiti Malaya, Profesor Abu Bakar Munir, berkata keselamatan siber merupakan salah satu risiko yang akan dihadapi dunia bermula saat ini dan sepuluh tahun akan datang.

“Penggodam Internet kini sedang berkembang dan sentiasa mencari peluang untuk menonjolkan diri mereka.

“Ia seolah-olah satu perkara yang boleh dibanggakan apabila mereka mampu menggodam laman-laman web terkenal seperti CNN, Yahoo, dan e-Bay menerusi serangan DOS,” ujarnya.

Jelas beliau, mereka (penggodam) mungkin pada asalnya hanya melakukannya sebagai hobi.

Namun, kini trend tersebut berubah dan menjurus kepada mencari kepentingan seperti wang apabila mereka merasakan kebolehan (menggodam) tersebut mampu memberi keuntungan kepada mereka.

“Apabila berjaya membuktikan kemahiran dengan menggodam beberapa laman web, kini mereka beralih arah untuk mencari wang.

“Mereka menggunakan perisian tertentu untuk memecahkan kod serta kata kunci individu yang mempunyai kredit kad serta informasi tertentu bagi mencuri wang mangsa secara online,” katanya.

Malah, tambah beliau, penggodam juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab menyebarkan virus secara berleluasa di Internet.

“Kadar penggunaan Internet yang semakin berkembang menjadikan kegiatan jenayah siber ini semakin berleluasa.

“Di tambah pula dengan kemunculan laman web sosial yang begitu popular seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, ia menarik kita untuk menggunakannya sekali gus membuka peluang kepada penjenayah siber,” katanya.

Justeru, sesuatu perlu dilakukan segera oleh kerajaan termasuk membentuk sebuah badan khas seperti sistem mahkamah khas untuk menangani kes-kes jenayah siber sahaja.

Credit – Utusan Malaysia Online

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Category: Internet

About the Author ()

Leave a Reply