Mangsa meninggal
SEGAMAT: “Saya tidak sangka mimpi arwah dihanyutkan dalam sebuah kereta menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” demikian keluhan Aminah Sayuti, 56, nenek kepada Siti Aishah Shahrir, 12, yang disahkan meninggal dunia selepas 12 jam bertarung nyawa di Hospital Segamat, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari kelmarin, Siti Aishah lemas ketika menyertai keluarganya mandi dan mencuci pakaian di parit berdekatan rumah neneknya di Felda Redong, di sini.
Biarpun reda dengan ketentuan Ilahi, Aminah tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilan berikutan kejadian berlaku di depan matanya.
Menurut Aminah, cucunya datang bersama ibunya, Norlia Mohammad dan dua lagi adik sejak beberapa hari lalu sempena cuti persekolahan.
Menceritakan detik kejadian, Aminah berkata, mereka bersama sembilan ahli keluarga lain ke kawasan parit berdekatan dengan menunggang dua motosikal dan sebuah kereta untuk mencuci pakaian dan mandi kerana kawasan kediaman mengalami masalah bekalan air.
Ketika semua sibuk mandi, mangsa dan dua sepupunya berusia 16 dan 14 tahun menuju ke kawasan lebih dalam serta berselut.
Kehilangan mangsa bagaimanapun hanya disedari Aminah apabila terpandang kelibat ketiga-tiga cucunya dalam keadaan cemas dan terkapai-kapai meminta pertolongan.
“Melihat keadaan itu, saya mengarahkan anak lelaki membantu mereka namun hanya dua cucu sempat ditarik keluar manakala Siti Aishah hilang,” katanya.
Usaha mencari kemudian diteruskan dengan bantuan penduduk kampung sebelum mangsa ditemui kira-kira 20 minit kemudian.
Bantuan pernafasan turut diberikan keluarga mangsa sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal jam 12 tengah malam, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, mangsa masih hidup ketika diselamatkan ahli keluarganya, namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Lokasi kejadian kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa di Batu 8, Batu Anam Kampung Paya Luas, Segamat. Ketika kejadian, mangsa bersama kira-kira 10 ahli keluarga lain melawat nenek mereka di Felda Redong.
“Pada masa sama, mereka ke sana untuk mencuci pakaian serta barang kelengkapan rumah yang kotor akibat banjir,” katanya.
Abdul Majid berkata, pada hari kejadian, mangsa bersama dua lagi sepupu tidak perasan berada di bahagian tengah sungai sebelum mereka dilihat terkapai-kapai oleh bapa saudaranya.
“Mangsa dikatakan tenggelam kira-kira 10 minit dalam sungai sebelum berjaya diselamatkan orang awam.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 12 jam selepas kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kematian remaja perempuan itu menjadikan jumlah korban akibat banjir di negeri ini meningkat kepada lima mangsa sejak dilanda bencana itu seminggu lalu dengan tiga kejadian sebelum ini membabitkan wanita dan dua lelaki dalam empat kejadian berasingan di Segamat dan Kulaijaya.
Sumber : Harian Metro










