Mayat bayi dalam bakul
JOHOR BAHRU: Sungguh menyayat hati apabila mayat seorang bayi bukan saja ditemui dalam keadaan berbogel di pinggir laut, malah ia diletakkan dalam sebuah bakul dan dipercayai ditinggalkan lebih dari 24 jam di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin di Jalan Dato’ Onn di sini, mayat bayi malang itu ditemui seorang penjala ikan yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum ternampak objek dalam bakul yang ditinggalkan di pinggir pantai berkenaan.
Penjala ikan terbabit, Mohd Noh Othman, 60, berkata, sejurus melihat mayat bayi itu, dia menjadi buntu hingga tidak tahu apa perlu dilakukan berikutan terlalu sedih dengan apa baru dilihatnya.
“Saya seakan terpanggil untuk membantu bayi malang terbabit. Jika sekali pandang bayi berkenaan cukup sifat dan dipercayai masih bertali pusat.
“Selepas ditenangkan oleh keluarga, saya bersetuju untuk membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Selatan, selepas waktu berbuka puasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 8.35 malam kelmarin, sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mayat bayi berkenaan belum dikenal pasti jantinanya berikutan keadaannya yang kembang.
“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Sultanah Amiha, (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya serta beberapa lagi butiran lain yang boleh membantu siasatan kes ini.
“Diharapkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkannya pada kami agar individu bertanggungjawab itu dicekup dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Harian Metro










