Mayat tanpa organ ditemui
KUALA TERENGGANU: Mayat lelaki dipercayai warga asing ditemui dengan keadaan dada kiri berlubang serta tiada organ dalaman dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Blok 16, Peringkat Satu di sini, semalam.
Mayat lelaki dipercayai warga Pakistan itu ditemui dalam keadaan terlentang dan sudah berulat jam 8.30 pagi oleh pemilik ladang berkenaan Mohamad Mahmud, 59, ketika hendak meninjau ladang sawitnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata dokumen kad pekerja asing yang ditemui dalam poket belakang seluar mangsa memaparkan namanya sebagai Habib Ali, 28.
Beliau berkata, dia dipercayai dibunuh berdasarkan penemuan beberapa kesan tikaman di bahagian rusuk kanannya selain terdapat kesan luka di bahagian kepala mangsa.
“Berdasarkan keadaan mayat kita percaya mangsa dibunuh dalam tempoh lima hari lalu atau 72 jam yang lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh kira-kira tujuh meter dari tempat mayatnya ditemui iaitu dalam belukar sebelum dia diseret binatang yang dipercayai memakan organ dalamannya,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, dan motif pembunuhan masih dalam siasatan. – Bernama
Sumber : Bharian.com.my










