‘Nasib baik tak dukung bayi’
KUALA LUMPUR: “Saya termasuk ke dalam lubang itu sehingga paras bahu namun bernasib baik kerana ketika kejadian saya tidak mendukung bayi,” kata Norazilah Ahmad, 23, yang jatuh ke lubang kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, Selasa lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia yang ketika itu baru sebulan bersalin berjalan di laluan utama ke kedai di PPR berkenaan bersama suami, terpijak papan nipis yang menutupi lubang itu dan patah di buku lali. Katanya, dia difahamkan lubang kumbahan yang tidak bertutup itu sudah dilapor kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di PPR berkenaan sejak Julai lalu.
“Lubang itu berada di tengah laluan ke kedai di Blok 4. Mujur, ketika kejadian suami mendukung anak,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Robiah Zakariah, 47, berkata dia ada berjumpa kakitangan di Pejabat Kecil DBKL PPR Desa Tun Razak memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
“Setiap kali aduan dibuat alasan sama diberikan iaitu masalah lubang itu sudah diserahkan kepada kontraktor. Namun, tiada tanda-tanda ia akan diselesaikan. Apabila hujan pastinya lubang dipenuhi air dan kadangkala sisa kumbahan melimpah keluar dan busuk.
“Apa yang mengecewakan lubang berkenaan bersebelahan Pejabat Kecil DBKL,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati lubang sedalam lebih satu meter itu kini ditutupi dengan konkrit sementara oleh DBKL.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zain, berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
“Mangsa juga boleh mengemukakan permohonan ganti rugi kepada kami dengan disertakan laporan polis dan bil perubatan. Bagaimanapun, kes itu akan dinilai terlebih dahulu kes itu,” katanya.
Sumber : Harian Metro










