PANDUAN SAF KANAK-KANAK BERDASARKAN KEPADA HADIS-HADIS

December 15, 2009 | By | 1 Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


Adakah kedudukan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa, atau mereka tidak perlu diletakkan di saf yang berasingan. Menjawab persoalan ini marilah kita merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah s.a.w.

Hadis yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)

عن أنس بن مالك:

أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.”

Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”

Hadis kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 823):

عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:

أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد.
Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya ,melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.

Kedua-dua hadis ini, Imam al-Bukhari memasukkan di bawah tajuk:

باب: وضوء الصبيان، ومتى يجب عليهم الغسل والطهور، وحضورهم الجماعة والعيدين والجنائز، وصفوفهم.

Bab: Wuduk kanak-kanak, bilakah mereka wajib mandi dan bersuci, kehadiran mereka untuk sembahyang berjemaah, sembahyang hari raya dan jenazah dan bagaimana saf-saf mereka.

Daripada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam bab ini tidak didapati ada saf yang khusus untuk kanak-kanak. Ini bererti Imam al-Bukhari berpendapat kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada saf orang dewasa.

Rasulullah s.a.w. membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan ( atau kenajisan ) kanak-kanak itu sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.

Begitu juga dalam hadis yang kedua, sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas menyertai saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.

Hadis yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:

قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.

“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”

Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.

Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)

Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmun atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 432):

عن أبي مسعود. قال:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.
“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”

Sudah tiba masanya masyarakat untuk berubah dan kembali kepada petunjuk hadis terutama sekali pihak pengurusan masjid. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.

Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengannya anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan umur.

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Tags: , , ,

Category: Agama

About the Author ()

Comments (1)

Trackback URL | Comments RSS Feed

  1. IbnuNafis says:

    Permasalahan hukum hakam agama perlu diserahkan kepada ahlinya. Bukan semata-mata jumpa hadith dan terus diambil tanpa ada disiplin ilmu. Ia boleh membawa kepada kesesatan.

    Jawapan Mufti Brunei :

    KANAK-KANAK BERADA DALAM SAF LELAKI DEWASA

    Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah mengenai hukum kanak-kanak lelaki yang belum baligh dan belum berkhatan berada di dalam saf orang lelaki dewasa. Adakah kehadiran mereka itu merosakkan saf atau fadhilat sembahyang berjemaah dan adakah boleh dikeluarkan mereka itu dari saf tersebut supaya diisikan tempatnya itu oleh lelaki dewasa?

    Dalam kumpulan fatwa Imam Ibnu Hajar, menurut qaul yang muktamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang pertama, tiada harus (tidak boleh) bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka dari saf yang pertama itu, kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.

    Seterusnya Ibnu Hajar menerangkan bahawa bukanlah maksud kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa tetapi maksudnya mereka hanya mendahului pada saf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki dari saf mereka untuk diberikan kepada lelaki dewasa.

    Daripada perkataan Imam Ibnu Hajar di atas ini, apabila kanak-kanak lelaki datang ke masjid dan dia telah duduk di dalam mana-mana saf sembahyang dengan tujuan hendak sembahyang mengikut imam, sama ada sembahyang Jumaat atau sebagainya, maka orang dewasa tidak boleh mengalih dan mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut dari saf-saf mereka itu.

    Adapun hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidin:

    “Jika ada di dalam saf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian). Kecuali, jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang mana makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas). Adalah lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.

    Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tidak harus (tidak boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijma‘ ulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.”

    Maka jika didapati kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum, dan tidak diketahui sama ada dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau belum, maka menurut pendapat atau fatwa Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini perkara itu tidak meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu.

Leave a Reply