Pemandu peribadi `Datuk’ dihukum gantung bunuh anak teman wanitanya
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu yang juga bekas pengawal peribadi seorang “Datuk” hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan teman wanitanya yang berusia dua tahun dan 11 bulan pada 2005.
Hakim Datuk Ghazali Cha berkata, pihak pembelaan yang mewakili Davender Singh Sher Singh, dari Taman Ibu Kota, Gombak, yang sudah beristeri gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Ghazali berkata peruntukan undang-undang di dalam pertuduhan membunuh adalah jelas, iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya dimaktubkan satu hukuman sahaja iaitu digantung sehingga mati.
Davender Singh, 49, didakwa membunuh Nur Farah Adila Ridzuan di No TA-12, Jalan Mewah 3, Taman Ampang, di antara 16 Jun hingga 1 Julai 2005.
Ghazali berkata, adalah mustahil bagi tertuduh untuk tidak mengetahui bahawa perbuatannya boleh menyebabkan maut kepada si mati.
Beliau menjelaskan keterangan saksi utama iaitu ibu mangsa Noriahanim Udin, 38, seorang pekerja hotel, bahawa Davender merupakan orang yang bertanggungjawab melakukan siri “rawatan”, yang mendatangkan kecederaan serius sehingga rusuk kanan dan kiri si mati patah.
“Laporan perubatan dan bedah siasat juga menunjukkan pankreas si mati sudah bernanah dan hampir semua organnya tidak berfungsi akibat dipukul dengan suatu objek tumpul,” jelas Ghazali.
Beliau berkata, keterangan Noriahanim adalah selaras dengan laporan perubatan di mana si mati telah dicekik, ditolak serta diantuk ke dinding setelah Davender Singh mendakwa Nur Farah disihir dan dia hanya melakukan rawatan.
“Di dalam kes ini, awalnya Noriahanim hanya meminjam wang daripada Davender Singh dan hubungan mereka semakin rapat sehingga kedua-dua mereka mengadakan hubungan seks dan seterusnya si mati menganggap Davender Singh sebagai ayahnya,” jelas Ghazali.
Mengenai hujahan pembelaan tentang krediliti Noriahanim, Ghazali berkata keterangannya tidak mempunyai motif dendam atau menganiaya tertuduh.
Ghazali berkata, pembelaan Davender Singh lebih berbentuk penafian semata-mata dan mendakwa tidak pernah menjalankan sesi perubatan di tempat kejadian serta di dalam keretanya.
“Tertuduh berkata, dia menganggap si mati sebagai anaknya sendiri tetapi tidak pernah berjanji dengan Noriahanim untuk berkahwin dengannya,” kata Ghazali.
Sebaik sahaja penghakiman, Davender memeluk ahli keluarganya termasuk emak, isteri dan anak mereka yang tidak dapat menahan perasaan sebak dengan keputusan mahkamah.
Peguam Jesvinderjit Singh berkata, pihaknya akan membuat rayuan di mahkamah Rayuan nanti.
Timbalan Pendakwa Raya Mabel S. Muttiah mewakili pihak pendakwaan.-Bernama
Sumber : Harian Metro










