Penagih lari elak serbuan polis tertinggal anak
SEGAMAT: Seorang bapa bukan saja tergamak membawa dua anaknya yang masih kecil ketika membeli dadah, malah sanggup meninggalkan dua anaknya yang berusia 10 tahun dan enam tahun itu ketika melarikan diri apabila polis menyerbu sarang dadah di sebuah kebun getah di Felda Redong, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Ahad lalu itu, lelaki terbabit dikatakan membawa anaknya ketika membeli dadah sebelum meninggalkan mereka dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis apabila lokasi terbabit diserbu.
Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata dua kanak-kanak itu ditahan ketika bersama lapan penagih dadah dan seorang pengedar dadah, dalam serbuan di kebun getah yang dijadikan sebagai tempat penagih mendapatkan bekalan dadah serta melepaskan gian.
Katanya, kedua-dua kanak itu ditemui di lokasi itu dalam keadaan terpinga-pinga apabila bapa mereka yang juga dipercayai penagih dadah melarikan diri tanpa membawa mereka bagi mengelak ditahan polis.
“Kanak-kanak itu dipercayai dibawa bersama oleh bapa mereka untuk membeli dadah sebelum ditinggalkan apabila polis menyerbu kawasan itu,” katanya.
Abdul Majid berkata, berdasarkan maklumat daripada kanak-kanak itu, pihaknya berjaya menghantarnya pulang kepada ibunya di Chaah, manakala usaha mengesan bapa mereka masih dijalankan.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing dan merampas 35.3 gram dadah jenis heroin dan 0.3 syabu, selain merampas tiga motosikal curi yang dilaporkan hilang di Shah Alam, Selangor serta Tangkak.
“Serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi cegah jenayah yang dijalankan secara berterusan,” katanya.
credit:bharian.com.my










