Pendakwa tuntut ulama kahwin budak 12 tahun dihukum penjara
UNGARAN (Indonesia): Pendakwa raya semalam menuntut seorang ulama kaya yang berkahwin dengan seorang budak berusia 12 tahun dihukum penjara enam tahun atas tuduhan mencabul kanak-kanak.
Pujiono Cahyo Widiyanto, 45, dari Semarang, Jawa Tengah, mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan kanak-kanak dari keluarga miskin itu, Lutfiana Ulfa.
“Kami mengesyorkan supaya dia dipenjara enam tahun. Beliau terbukti bersalah mencabul secara seksual kaum wanita, khususnya kanak-kanak bawah umur itu,” kata pendakwa raya, Suningsih.
“Sebagai pemilik sebuah sekolah agama, Pujiono tidak menunjukkan contoh yang baik,” katanya.
Pujiono yang juga terkenal dengan panggilan Sheikh Puji, mengahwini Lutfiana pada Ogos 2008.
Beliau mempertahankan perkahwinan itu, yang kedua baginya, dengan berkata kanak-kanak itu sudah cukup umur.
Pujiono juga berkata, perkahwinan itu sah di sisi Islam tetapi pengkritiknya berkata, beliau perlu mematuhi undang-undang negara yang menetapkan 16 tahun sebagai usia minimum untuk berkahwin.
Indonesia mempunyai undang-undang tegas berhubung kesalahan seks dengan kanak-kanak tetapi perkahwinan yang tidak didaftarkan atau dilakukan secara tidak rasmi antara lelaki tua dengan gadis bawah umur adalah perkara biasa di kawasan pedalaman. – AFP
Sumber : Harian Metro
Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda
Category: Berita, Luar Negara










