Perbincangan isu pembantu rumah Indonesia masih berlangsung
PETALING JAYA: Perbincangan antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu pembantu rumah masih sedang berlangsung dengan tiada persetujuan konklusif dicapai sehingga ini.
“Ada beberapa isu yang perlu diambil kira sebelum perbincangan dapat diselesaikan,” Ketua Pengarah Jabatan Buruh, Datuk Ismail Abdul Rahim, hari ini.
Ketika ini, Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sementara menunggu hasil perbincangan menyeluruh dari segi gaji dan keadaan kerja.
Beliau berkata, perkara pokok yang menjadi tumpuan Malaysia dalam perbincangan itu adalah berkaitan proses pengambilan pembantu rumah Indonesia memandangkan ”masalah eksploitasi yang dialami pembantu rumah ini didapati berpunca daripada proses pengambilan”.
“Pengambilan yang tidak teratur serta cara pengambilan yang tidak diselaras yang dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai ejen berdaftar yang beroperasi di Malaysia atau negara sumber, sering menjadi dalang yang menyumbang kepada kesengsaraan yang dialami pembantu rumah ini.
“Dalam banyak kes ejen itu sendiri terbabit dalam aktiviti eksploitasi ini,” katanya.
Merujuk kepada isu berkaitan gaji, Ismail berkata, pendirian Malaysia adalah ia tidak dapat ditetapkan dan ia seharusnya bergantung kepada perjanjian antara pekerja dan majikan.
“Amat sukar untuk menetapkan gaji pekerja sektor ini, kerana gaji pekerja di lain-lain sektor juga perlu diambil kira sebagai pertimbangan,” katanya.
Gaji pembantu rumah ketika ini adalah antara RM400 dan RM650, bergantung kepada pengalaman, dan juga perjanjian bersama antara pembantu rumah itu dengan majikan.
Sementara itu, Ismail berkata, Malaysia sedang menimbang untuk mengambil pembantu asing Muslim dari negara Kemboja, Filipina, dan Thailand.
Beliau berkata, ia bukan saja akan membolehkan majikan membuat pilihan, malah ia dapat mengurangkan penggantungan mereka kepada negara pembekal, seperti Indonesia.
Menurutnya, ketika ini, terdapat 251,255 pembantu asing berdaftar di Malaysia, di mana 230,141 daripadanya adalah dari Indonesia.
Terdahulu, ketika menyampaikan taklimat dalam satu perbincangan bertajuk ”Strategies to Support Proposed International Standard for Domestic Workers”, Ismail berkata, adalah menjadi dasar Malaysia untuk membekalkan perlindungan yang sama rata bagi pekerja tempatan mahupun asing.
Ismail berkata, pekerja asing mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan menerusi sistem mahkamah perusahaan, di samping berhak untuk memiliki kontrak perkhidmatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menangani masalah pembantu rumah mengenai gaji yang disimpan oleh majikan atau disimpan di bank atas nama majikan.
Pindaan akan turut menyediakan hukuman yang lebih berat buat majikan yang melakukan kesalahan terhadap pekerja, di samping melindungi pekerja daripada gangguan seksual.
credit:bharian.com.my











Bagi saya, rakyat Malaysia terlalu baik sehingga sanggup dipijak kepala. Saya melihat terlalu banyak permintaan kerajaan Indonesia tanpa sedikitpun pembelaan diberi kepada majikan di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa ada segelintir majikan yang mendera pembantu rumah, namun hakikatnya, ramai juga majikan yang di’dera’ oleh pembantu rumah secara fizikal, mental dan emosi.
Bukan cerita baru (ada sesetengah kes berlaku kepada kawan-kawan dan saudara-mara saya sendiri) kita dengar tentang pembantu rumah mendera anak-anak majikan. Kita juga biasa dengar pembantu rumah mencuri, malas dan ada juga yang menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan majikan (ada juga bertujuan untuk membunuh) dan menguasai rumahtangga majikan . Namun, kes-kes seperti ini biasanya diselesaikan oleh majikan sendiri tanpa membawa pembantu rumah ke muka pengadilan. Paling teruk pun, pembantu rumah sebegini dihantar pulang. Yang rugi adalah majikan, yang lepas lari dan untung adalah pembantu rumah yang ‘jahat’.
Saya mempunyai pembantu rumah yang baik (setakat yang saya tahu) namun beliau tidak kompeten. Saya terpaksa melakukan semula kerja rumah yang dibuat kerana hasil kerja yang terlalu teruk (kalau nak diceritakan pun tak cukup ruang nak ditulis). Akhirnya, saya yang terpaksa melakukan kebanyakan kerja rumah selepas penat pulang bekerja. Oleh kerana kerja yang sedikit yang perlu dilakukan, pembantu rumah saya akan berehat selepas maghrib dan bangun tidur lewat daripada saya. Saya menggajinya sebanyak RM450 sebulan untuk kerja yang bernilai RM150 sebulan. Saya juga hanya mampu berdoa agar bayi yang saya tinggalkan didalam jagaannya dilindungi Allah kerana pembantu rumah saya cuai dan kurang pandai berfikir. Pernah saya lihat dia menggosok (seterika) diatas tilam bayi dimana bayi saya dibaringkan (seterika betul-betul berada sebelah kepala bayi saya). Dia juga menyapu dengan kipas siling berpusing, dan bayi saya berada atas lantai dimana dia menyapu. Setelah ditegur, dia menjawab yang dia menyapu ditepi permaidani (bukan diatas permaidani dimana bayi saya dibaringkan). Bayi saya disahkan menghidap asthma pada usia 5 bulan. Walaupun saya percaya kepada takdir, namun hati kecil ibu ini tetap rasa kesal dengan kecuaian pembantu rumah yang menyumbang kepada masalah kesihatan anak saya. Perasaan marah itu sedikit reda kerana saya terima ‘kebodohan’ pembantu saya bukanlah yang dibuat-buat. Saya memberinya ubat IQ dan Alhamdulillah, kualiti kerjanya meningkat ketahap RM350 sebulan (nilai kerja yang saya tulis ini berdasarkan penilaian saya sahaja).
Dilemanya ialah, ramai majikan seperti saya tidak mampu untuk mengeluarkan RM5000 -RM7000 dalam tempoh setiap sebulan dua untuk mendapatkan pembantu rumah yang lain sekiranya mendapat pembantu rumah yang bermasalah. Ajen memberi jaminan untuk menggantikan pembantu rumah yang lain tetapi saya rasa kebanyakan majikan sedia maklum , kebiasaannya pembantu gantian adalah ‘rejected stock’ oleh majikan lain. Masalahnya tiada kesudahan .
Cadangan saya, pihak kerajaan Malaysia perlu bertegas dengan kerajaan Indonesia agar majikan di Malaysia tidak di’dera’ oleh pembantu rumah Indonesia. Diantaranya:
1) Kontrak pekerjaan diantara majikan dan pembantu rumah mestilah ditandatangani dan didokumentasikan.
2) Kerajaan Indonesia bertanggungjawab melatih pembantu rumah Indonesia dan menghantar pembantu rumah yang layak bekerja sahaja ke Malaysia.
3) Sijil kompetensi pembantu rumah mestilah disahkan oleh kerajaan Malaysia.
4)Kerajaan Indonesia hendaklah membayar semua gantirugi (kos pengambilan+semua gaji yang telah dibayar) kepada pihak majikan sekiranya pembantu rumah rakyat Indonesia lari, ingkar kontrak dan tidak mencapai tahap kompetensi.
Sekiranya permintaan tersebut sukar diterima, kenapa kita harus bekerjasama dengan Indonesia lagi? Kerajaan Arab Saudi pun dah tak sudi.