Perniagaan Cikgu Rosidah

December 14, 2009 | By | Reply More



Perkara-perkara Lain Yang Lebih Menarik
~ Klik Image Di Bawah ~


Impian dan minatnya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan begitu berkobar-kobar biarpun tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam bidang tersebut.

PEKERJA Mega Seni Enterprise sedang melipat baju yang ditempah pelanggan ketika ditemui di kedai mereka.


BIARPUN selesa dengan kerjaya sebagai guru dan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang, namun keselesaan dan pencapaian itu masih belum cukup bagi Rosidah Anang.

Impian dan minatnya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan begitu berkobar-kobar, biarpun tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam bidang tersebut.

Atas sebab itulah, Rosidah, 52, tegar meninggalkan profesion perguruan yang diceburinya sejak 27 tahun lalu untuk bergelar usahawan yang membekal pakaian dan cenderamata.

Mujurlah pengalaman sebagai guru Seni Lukis membantunya menjadi seorang yang kreatif dalam menghasilkan rekaan corak baju yang sesuai dengan kehendak pelanggan.

Penubuhan Mega Seni Enterprise bukannya bermula di pejabat yang luas dan selesa tetapi hanya bergerak dari rumah dengan mengambil tempahan secara kecil-kecilan.

“Sebelum saya memiliki kedai ini, saya mengambil tempahan untuk mencetak baju daripada rakan-rakan bermula pada tahun 2000.

“Sehinggalah tahun 2005, saya berpindah ke Bangunan Mara dengan menyewa sebuah kedai yang kecil. Tetapi pada tahun lalu, saya berpeluang memiliki kedai yang agak selesa ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Lebuh Buckhingham di Pulau Pinang.

Menurutnya, dia bersyukur kerana jika dahulu semasa awal perniagaan, dia hanya bersama rakan kongsinya, Fauziah Taib, 41, menguruskan segala hal bisnes, kini mereka sudah mampu menggaji lima pekerja.


MEGA Seni Enterprise mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang berminat mendapatkan cenderamata dan baju.


Katanya, para pekerjanya lebih fokus kepada rekaan grafik dan pemasaran.

Antara produk yang dihasilkan di Mega Seni Enterprise ialah baju-T, kemeja, jaket, jaket keselamatan, tuala muka, topi, baju batik dan banyak lagi.

Baju-T dan kemeja yang dihasilkan mereka menggunakan pelbagai material berbeza seperti mini polo, kain kapas, quick dry, kemeja F1 dan uniform.

Selain itu, mereka juga mengedar pelbagai barangan cenderamata seperti rantai kunci, plak, medal, piala, replika, mug, pen, beg serta pelbagai barangan lain.

Menceritakan penglibatannya dalam perniagaan itu, Rosidah berkata, semuanya bermula ketika dia melanjutkan pengajian dalam jurusan Seni Halus di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1992.

“Ketika berlangsungnya pesta konvokesyen di USM, saya menyewa gerai dan menjual baju-T dan cenderamata sepanjang pesta itu berlangsung.

“Itulah sumber pendapatan saya buat menampung yuran pengajian sepanjang empat tahun menimba ilmu di USM sehinggalah saya kembali menjadi pendidik,” ujarnya.

Rosidah bukannya makan gaji dengan pembekal pakaian itu tetapi sekadar mengambil komisen daripada baju yang dijual dan mampu memperoleh sehingga RM8,000 pada tahun pertama penglibatannya.


ANTARA cenderamata yang dibekalkan oleh Mega Seni Enterprise seperti plak, piala dan medal.


Apabila tamat pengajian di USM, Rosidah masih menyewa gerai di USM untuk menjual baju serta mula mengorak langkah mencari kilang-kilang menjahit baju sebelum dicetak di kedainya.

Kini, dengan pelanggannya berada di merata tempat di seluruh Semenanjung, semangat juangnya semakin menebal untuk membesarkan perniagaannya.

“Saya merancang untuk membuka cawangan syarikat ini di Kuala Lumpur pada awal tahun depan bagi meluaskan rangkaian Mega Seni Enterprise,” katanya yakin.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Rosidah di talian 012-6123454, 016-4496562 atau menghantar e-mel ke megaseni@yahoo.com.

kredit : kosmo.com.my

Perhatian! BHO Tidak Akan Bertangungjawab Di Atas Komen-Komen Anda

Tags:

Category: Tempatan, Tips

About the Author ()

Saya lahir di Hospital Universiti, Kuala Lumpur yg sekarang dikenali sebagai PPUM. Mak dan ayah berasal dari Bota, Perak. Sekarang melanjutkan/study balik di KTMP, KL dalam jurusan teknologi makmal perubatan dan insyaallah akan graduated pada Julai 2012. Pernah belajar di Poli Shah Alam pada Julai 2004 - Julai 2007 dalam jurusan kejuruteraan elektronik perubatan dan pernah bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat biomedikal swasta di Shah alam sebelum study di KTMP, KL.

Leave a Reply