Projek himpit jalan raya
KUALA LUMPUR: Pembinaan kompleks beli-belah di Taman Danau Kota, berhadapan pejabat MCA Wangsa Maju dan Jalan Taman Ibu Kota, menimbulkan keresahan di kalangan penduduk setempat berikutan berlaku masalah kesesakan jalan raya sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Pemuda MCA Cawangan Wangsa Maju, Soo Jing Wey berkata, banyak aduan diterima daripada penduduk setempat mengenai masalah itu dan ia sebenarnya berpunca daripada jalan yang dahulunya mempunyai tiga lorong, tetapi sekarang hanya satu lorong.
“Masalah ini timbul dua bulan lalu sejak pembinaan projek dibangunkan betul-betul di hadapan jalan itu.
“Kesesakan jalan terbabit berlaku apabila tiba waktu puncak, malah ia juga terjadi apabila hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat berpunca daripada ketiadaan saluran longkang untuk air mengalir,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha MCA cawangan Wangsa Maju, Lim Choon Hong berkata, pemaju diharapkan dapat mempercepatkan projek pembinaan kompleks beli- belah bagi mengelak lalu lintas menjadi sesak.
“Pemaju dikatakan mahu membina jalan untuk masuk ke kompleks beli-belah, malah ingin menaik taraf jalan itu dan ia seharusnya sama tinggi dengan jalan yang sedia ada.
“Saya harap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kontraktor berkenaan mengkaji semula jalan yang ingin dinaik taraf,” katanya.
Sumber : Harian Metro







