‘Saya tempang di Golok’
Kejadian letupan bom pada 27 Mac 2004 yang hampir meragut nyawanya benar-benar memberi kesan kepada Kamaruzzaman.
![]() |
![]() |
|
MOTOSIKAL yang digunakan untuk meletupkan bom dalam insiden Mac 2004.
|
![]() |
|
KAKI kiri Kamaruzzaman cedera parah akibat terkena serpihan bom.
|
Entah mengapa hati Kamaruzzaman Yusof, 43, terasa berat menerima ajakan rakan untuk pergi ke bandar Sungai Golok, Selatan Thai, pada suatu petang Mac 2004.
Memanglah pekan itu bukan asing bagi Kamaruzzaman yang tinggal di Rantau Panjang, Kelantan. Beliau bekerja sebagai pemunggah barang di Sungai Golok dan mempunyai ramai saudara mara di sana.
Sebelum itu, beberapa siri letupan bom telah menggegarkan pekan Sungai Golok yang terkenal dengan kelab-kelab malam dan rumah-rumah pelacuran di kalangan pelancong asing itu.
Dan kejadian letupan bom pada 27 Mac 2004 merupakan hari malang Kamaruzzaman.
Dalam kejadian itu, tujuh rakyat Malaysia cedera termasuk dua parah. Walaupun sudah lebih empat tahun berlalu, kenangan pahit tersebut akan tetap kekal terpahat di memorinya. Ikuti temu bual wartawan KHAIRI MOHAMAD bersama beliau.
Kosmo!: Bagaimana keadaan saudara sekarang?
Kamaruzzaman: Alhamdulillah, keadaan saya baik. Namun, kesan kejadian tersebut sangat memeritkan. Saya mengalami kecacatan kekal. Kaki kiri saya tempang dan saya sering mengalami sakit sendi. Saya terpaksa mendapat rawatan di hospital sebulan sekali dan bergantung pada ubat-ubatan.
Adakah saudara trauma selepas kejadian tersebut?
Saya terlalu trauma. Bagaimanapun, saya masih berulang alik ke Sungai Golok kerana mempunyai urusan kerja selain ramai saudara-mara dan rakan-rakan tinggal di sana.
Namun, saya kini lebih berhati-hati apabila berada di bandar itu. Saya tidak berani untuk keluar malam dan fobia untuk berada di kawasan yang menjadi tumpuan ramai. Ini kerana biasanya kumpulan militan sering menyasarkan kawasan tumpuan seperti pusat hiburan dan pusat beli-belah.
Boleh saudara ceritakan detik cemas hampir lima tahun lalu?
Petang hari tersebut beberapa rakan datang ke rumah saya dan mereka mengajak saya untuk ke seberang (Sungai Golok). Kata mereka ke sana untuk ‘enjoy’ sambil minum-minum.
Mulanya saya berat hati, namun, kerana tidak mahu menghampakan rakan, saya menuruti juga. Kami semua masuk secara sah menggunakan pasport dan pas sempadan. Kami sampai restoran tersebut yang terletak berhampiran sebuah hotel terkenal di bandar ini lebih kurang pukul 7.20 malam (8.20 malam waktu Malaysia).
Lebih kurang 10 minit kemudian satu letupan kuat berlaku dan jaraknya lebih kurang 10 meter dari meja saya dan rakan-rakan. Letupan tersebut menyebabkan telinga saya berdesing dan keadaan menjadi kelam kabut dengan orang ramai bertempiaran lari.
Kemudian apa yang berlaku?
Ketika itu lantai dipenuhi darah manakala kerusi, meja dan bahagian-bahagian motosikal bertaburan di kaki lima. Saya ingatkan saya sudah mati apabila kehilangan banyak darah.
Apa yang saya ingat hanyalah nak selamatkan diri dan ketika itu saya rasa kaki saya sangat sakit menyebabkan saya tidak mampu lagi untuk melarikan diri.
Serpihan bom tersebut mengenai badan serta muka saya tetapi bahagian kaki yang mengalami kecederaan paling teruk. Saya jatuh dan hampir pengsan sebelum polis Thai membawa saya ke Hospital Sungai Golok.
Selain itu, apa yang saudara ingat?
Sebelum itu, saya masih ingat, pada masa itu kami sedang minum di restoran tersebut, saya perasan ada dua remaja datang meletakkan motosikal tersebut di hadapan restoran.
Kemudian mereka berlalu dan 10 minit selepas itu berlaku letupan yang berpunca daripada motosikal tersebut.
Menurut pihak polis, bom tersebut diletakkan di bahagian tangki minyak motosikal tersebut dan bom tersebut diletup menggunakan gelombang telefon bimbit.
Berapa lama anda mendapat rawatan selepas kejadian tersebut?
Saya di masukkan ke Hospital Sungai Golok selama empat hari sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan ditahan di wad selama sebulan sebelum dibenarkan pulang.
Saya sangat berterima kasih kepada ibu saya, Limah Mamat kerana dia banyak membantu dan menjaga saya sehingga saya sembuh. Beberapa bulan kemudian saya pulih sepenuhnya.
Namun saya tidak lagi seperti dulu. Kecederaan yang saya alami masih terasa hingga kini. Adakalanya saya tidak mampu untuk bekerja dalam tempoh yang lama kerana menanggung kesakitan.
kredit : kosmo.com.my













