‘Saya tidak takut’
KUALA LUMPUR: “Semua berita berkenaan adalah fitnah semata-mata,” kata seorang juara program nyanyian realiti televisyen yang didakwa memukul wanita sarat mengandung yang juga isteri kepada kekasihnya sebelum mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu di depan mangsa.
“Yang boleh saya katakan, saya tidak pernah takut untuk berdepan sesiapa bagi menjelaskannya kerana saya yakin saya di pihak benar.
“Buat masa ini saya menerima arahan daripada syarikat rakaman saya untuk tidak memberi sebarang komen. Mungkin selepas pulang dari Sibu, Sarawak esok (hari ini) saya akan berjumpa semua pihak dan menjelaskan perkara sebenar.
“Saya mempunyai segala bukti kukuh bagi menyangkal dakwaan itu. Saya tidak peduli jika mereka mahu terus bercakap dan memburukkan saya. Saya percaya, Tuhan Maha Kaya dan mereka yang memburukkan saya akan menerima balasan setimpal,” katanya.
Usaha Metro Ahad mendapatkan kenyataan daripada keluarga mangsa mengenai kejadian di kediaman mangsa di Flet Danau Kota, Wangsa Maju, di sini, pada 26 Jun lalu, menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, menerusi SMS yang dikirimkan sumber kepada wartawan bertarikh 29 Jun lalu mengatakan pihak keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, sehari selepas kejadian.
Isu itu timbul apabila beberapa laman web hiburan dan ruangan gosip akhbar tempatan memaparkan dakwaan berkenaan pada Khamis lalu.
Menerusi artikel berkenaan, artis itu dikatakan bukan saja merampas suami orang tetapi dengan bongkak bercakap dia berani mengambil siapa saja yang disukainya.
Ketika bertengkar, lelaki itu dikatakan sanggup memukul isterinya yang sarat mengandung selepas mangsa bertanya kesahihan hubungannya dengan bintang realiti terbabit.
Bagaimanapun, pertengkaran itu tidak selesai begitu saja apabila pasangan berkenaan didakwa melakukan hubungan seks di depan isterinya yang lemah selepas dipukul.
Ketika kejadian, mangsa juga dikatakan sempat menghantar SMS kepada bapanya di kampung berbunyi: “Abah… saya baru je kene (kena) pukul dengan abang (suaminya) dan penyanyi itu. Lepas dia orang pukul saya, dia orang terus bersetubuh depan saya.”
Sumber : Harian Metro










