Sempat melancong ke Hatyai
IPOH: “Abah sempat membawa kami sekeluarga melancong ke Hatyai, Thailand Jumaat lalu dan sempat membelikan peralatan persekolahan saya.
“Saya begitu sedih dan tidak sangka ia menjadi kenangan terakhir bersama abah,” kata Muhammad Nizam, 14, anak kepada Omar Shahidan, 48, pemandu bas persiaran yang turut terkorban bersama 26 yang lain apabila bas dua tingkat dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang di sini, kelmarin.
Muhammad Nizam, anak bongsu Omar daripada tiga beradik berkata, dia memang rapat dengan bapanya.
“Abah jarang ada di rumah kerana selalu sibuk dengan tugasnya. Namun, setiap kali abah cuti atau mempunyai masa, dia akan meluangkan masa bersama kami dan selalu membawa saya berjalan-jalan menaiki bas.
“Saya sedih dengan kejadian ini tapi reda menerimanya sebagai takdir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, malam kelmarin.
Omar meninggalkan seorang balu, Puspalela Ramli, 40, dan tiga anak iaitu Siti Nazirah, 20, Hajaratul Syahmimi, 18 dan Muhammad Nizam.
Sumber : Harian Metro










