Serah kepada Amir Asyraf hantar ke kelas tuisyen
PASIR MAS: Kesibukan ahli keluarga empat bersaudara menghantar anak mereka untuk mengikuti tuisyen di bandar ini petang kelmarin, menyebabkan tugas berkenaan diserahkan kepada Amir Asyraf Abd Aziz, 22.
Bapa kepada Isyraf Ibrahim, 11, Ibrahim Awang Lah, 38, berkata, kebetulan pada hari berkenaan semua bapa kanak-kanak itu mempunyai urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.
“Sudah menjadi rutin kami, sesiapa yang mempunyai kelapangan akan menghantar anak ke pusat tuisyen di bandar ini, namun kesibukan pada hari kejadian menyebabkan tugas itu dipikul Amir Asyraf,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, malam kelmarin.
Ibrahim yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Uban, berkata, berita kemalangan menimpa anaknya serta empat sepupu mereka diketahui sebaik dihubungi abang iparnya yang memaklumkan kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berada di Kota Bharu dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam.
“Dalam kejadian itu, abang ipar saya, Abd Aziz kehilangan dua anaknya yang meninggal dunia di tempat kejadian. Sebaik mendapat tahu mengenai kejadian itu saya bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak.
“Setibanya di situ, saya dimaklumkan Asyraf sudah meninggal dunia bersama tiga sepupunya yang lain,” katanya.
Sumber : Harian Metro










