Surau Sungai Batu Pahat tempat maksiat
KANGAR – Sungai Batu Pahat dekat sini yang merupakan pusat peranginan tertua di Perlis kini suram berikutan kemudahan yang terdapat di pusat itu tidak terurus dan dikatakan kurang dijaga oleh pihak berkenaan.
Pusat peranginan terbabit yang menjadi tumpuan pelancong terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan tidak lagi popular seperti sekitar tahun 80 an. Ini berikutan kemudahan tandas, surau tidak dijaga dengan baik sehingga surau menjadi tempat melakukan kegiatan maksiat.
Seorang peniaga, Mazli Che Kassim, 36, berkata, surau yang dibina sejak beberapa tahun lalu sering menjadi tumpuan remaja untuk menjalankan aktiviti maksiat terutamanya pada waktu malam berikutan surau itu tidak dikunci.
“Kami sudah menangkap beberapa pasangan remaja dalam keadaan memalukan di dalam surau terbabit sebelum menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) untuk tindakan selanjutnya, ” katanya.
Selain itu katanya, keadaan paip yang rosak menyebabkan air sentiasa mengalir sejak tiga tahun lalu sehingga berlaku pembaziran.
“Saya sudah beberapa kali memaklumkan masalah kebocoran paip air di tandas dan surau terbabit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) namun tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah ini.
“Masalah ini tidak besar cuma ketiadaan kepala paip dan beberapa pegawai hadir hanya menutup terus saluran paip. Justeru, beberapa pengguna mengambil tindakan memecahkan paip tersebut sehingga menyebabkan pembaziran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mazli berkata, masalah berkenaan mencemarkan Sungai Batu Pahat sebagai pusat peranginan dan pihaknya berharap jabatan berkaitan khususnya JKR prihatin dengan masalah berkenaan.










