Tin biskut berdarah
MELAKA: “Saya tidak sedap hati apabila anak memberitahu dia terjumpa satu barang berdarah dalam tin biskut di kawasan lapang berhampiran rumah sebelum mengajak beberapa jiran melihat sendiri sebelum mendapati ia seperti tali pusat yang masih mempunyai klip.”
Begitu kata seorang suri rumah, Muzaimah Muhammad, 36, berhubung kejadian anaknya menemui objek berbungkus yang pada mulanya disyaki janin kira-kira jam 7.40 malam10) kelmarin di Taman Saujana 2, Bukit Katil.
Menurutnya, anaknya, Haiqal Azzril Saifulizan, 9, dikatakan bermain bersama abangnya dan rakan di kawasan lapang itu sebelum penemuan objek berkenaan.
Katanya, dia ketika itu baru selesai menjamah hidangan berbuka sebelum dikejutkan mengenai perkara itu dan mula bimbang.
“Saya mual dan mahu muntah apabila melihat benda itu yang kelihatan seperti janin. Baunya begitu hanyir dan berdarah, apatah lagi saya baru menjamah juadah berbuka.
“Berdasarkan pengamatan, ia seperti janin dilahirkan di hospital swasta apabila melihat warna kain digunakan untuk membalut serta mempunyai klip.
“Selepas itu, saya beritahu suami dan jiran yang menghubungi polis memaklumkan penemuan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian Sementara itu, suaminya, Saifullizan Ahmad, 40, berkata, selepas diberitahu perkara itu, dia bersama beberapa jiran lelaki melihat objek terbabit.
“Isteri memberitahu anak kami menemui objek seperti uri di kawasan lapang itu yang dibungkus dengan dua plastik dalam tin biskut sebelum jiran menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, penemuan ‘objek’ berkenaan menggemparkan penduduk selepas beberapa kes penemuan bayi dan janin sejak awal tahun lalu di kawasan perkuburan Jelutong, Bukit Beruang; surau di Duyong dan tepi sungai di Taman Merdeka, Batu Berendam.
Haiqal Azzril yang ditemui berkata, dia dalam perjalanan ke kedai kira-kira jam 6.30 petang sebelum melihat seorang lelaki mengorek lubang di kawasan lapang deretan rumah kedai di taman itu dan seorang wanita pula membawa beg sandang sebelum beredar.
Menurutnya, tidak lama kemudian dia mendakwa pergi ke tempat lelaki terbabit mengorek lubang lalu menggali semula dan menemui satu tin, namun selepas dibuka mengandungi objek berdarah.
Katanya, dia bimbang apabila menyedari tangannya turut berlumuran darah kemudian menunjukkan kepada ibunya.
“Saya takut melihat benda itu dan membawa balik serta ditunjukkan kepada emak. Emak kata benda itu seperti janin dan menyuruh saya membawanya untuk ditunjukkan kepada jiran lelaki di rumah berdekatan, namun dia pula tiada,” katanya.
Sumber : Harian Metro










